GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid


TERDAPAT syarikat korporat 'tewas' kepada perdagangan haram yang menguasai pasaran dan sekali gus penguasaan ekonomi gelap menyebabkan negara kerugian berbilion ringgit akibat cukai gagal dikutip.

Penganalisis ekonomi Pankaj Kumar, berkata, persaingan tidak adil antara sektor korporat dan empayar ekonomi gelap itu turut berlaku ketika pandemik Covid-19.

Beliau berkata, berdasarkan anggaran tahun lalu, kerajaan menyatakan bahawa ekonomi atau pasaran gelap adalah besar dengan nilai keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bersamaan dengan kira-kira 20 peratus daripada KDNK negara atau dari segi nilai ia dianggarkan RM300 bilion.

Menurutnya, pasaran gelap juga menjejaskan perniagaan tulen yang kehilangan perolehan antaranya industri rokok serta pembuat minuman alkohol.

"Insiden perdagangan haram terutamanya turut didorong oleh langkah Malaysia menaikkan cukai `dosa' bagi mengurangkan penggunaannya.

"Menurut Laporan Tahunan 2019 Carlsberg Brewery Malaysia, eksais duti Malaysia bagi arak adalah ketiga tertinggi di dunia.

"Ia secara tidak langsung menggalakkan minuman alkohol kontraban di pasaran dan kerajaan menganggarkan ia sudah kerugian kira-kira RM1.5 bilion dari segi kutipan cukai setahun," katanya dalam kenyataan,baru-baru ini.

Beliau berkata, di dalam industri rokok, syarikat utama seperti British American Tobacco (Malaysia) Berhad (BAT) juga terkena impak begitu besar.

Perolehan BAT tahun lalu, katanya, hanya sedikit melepasi aras RM2.5 bilion yang juga adalah penurunan 48 peratus daripada tahap tertinggi RM4.8 bilion pada 2014.

"Semasa tempoh ini, insiden perdagangan haram bertambah 33.7 peratus sehingga setinggi 62.3 peratus kerana penggunaan rokok tidak sah melonjak sebanyak 74 peratus kepada 12.2 bilion batang dijual dan dihisap di Malaysia tahun lalu berbanding tujuh bilion batang pada 2014," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 4:45 PM