ISMAIL SABRI YAAKOB
ISMAIL SABRI YAAKOB
Raja Noraina Raja Rahim

TIADA pertambahan kertas siasatan baharu berita palsu berkaitan Covid-19 dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sejak dua bulan lalu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia menunjukkan kesedaran masyarakat terhadap penyebaran berita palsu yang meningkat.

"Namun begitu, PDRM dan SKMM sedang dalam proses penilaian beberapa laporan yang diterima berkenaan berita palsu mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

"Pemantauan ketat terhadap penyebaran berita palsu akan terus dilakukan pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, sejak 18 Julai lalu sebanyak 266 kertas siasatan dibuka berhubung berita palsu berkaitan Covid-19.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 172 masih dalam siasatan, manakala 30 kes didakwa di mahkamah, 12 lagi diberikan notis amaran, 13 dalam proses perbicaraan dan 17 mengaku bersalah," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) memeriksa 11 tapak binaan bagi memastikan pematuhan kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada semalam.

Katanya, hasil pemeriksaan dilakukan mendapati empat tapak binaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan manakala tujuh lagi tapak binaan tidak beroperasi.

"Jumlah kumulatif tapak binaan yang diperiksa oleh CIDB di seluruh negara sejak 20 April sehingga semalam adalah 3,779.

"Daripada jumlah itu, pemeriksaan CIDB mendapati 3,219 tapak binaan patuh SOP manakala 541 lagi tidak patuh SOP dan diberi amaran serta 19 tapak binaan diarah tutup," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2020 @ 4:43 PM