Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Seramai lapan individu membabitkan doktor, orang awam dan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dikaitkan dengan sindiket jual bayi dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur di sini, pagi ini, bagi permohonan reman.

Semua suspek terbabit sebelum ini ditahan sepasukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, selepas disyaki ada kaitan dengan komplot menyediakan dokumen palsu bagi membolehkan beratus bayi tak sah taraf atau bayi pendatang haram didaftarkan di JPN sejak beberapa tahun lalu.

Tindakan itu susulan pendedahan Harian Metro sejak semalam membabitkan sindiket penjualan bayi warga asing serta pengeluaran sijil kelahiran dan Mykid mencurigakan.

Jurucakap SPRM dihubungi berkata, seramai 13 individu diberkas dalam operasi serentak jam 10 pagi semalam membabitkan empat klinik, pejabat JPN dan beberapa lokasi di Lembah Klang.

"Semua mereka yang ditahan itu kemudian dibawa ke pejabat SPRM Kuala Lumpur untuk diambil keterangan. Bagaimanapun lima individu dibebaskan dengan jaminan malam tadi.

"SPRM akan memohon kebenaran reman terhadap semua suspek bagi membantu siasatan. Ketika ini proses permohonan masih berjalan di mahkamah," katanya.

Pegawai dan anggota SPRM mengiringi antara suspek yang terdiri daripada doktor, kakitangan kerajaan dan orang awam yang ditahan semalam bagi mendapatkan perintah reman. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Pegawai dan anggota SPRM mengiringi antara suspek yang terdiri daripada doktor, kakitangan kerajaan dan orang awam yang ditahan semalam bagi mendapatkan perintah reman. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 11:59 AM