Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SERAMAI 255 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara didapati masih ingkar untuk melakukan ujian saringan Covid-19 kedua.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang memantau individu berkenaan dan mengesan lokasi mereka.

Menurutnya, kerajaan memberi peluang kepada mereka untuk tampil membuat ujian saringan secara sukarela di klinik kesihatan berdekatan, atau berdepan tindakan kompaun RM1,000 atau dihadapkan ke mahkamah, yang boleh dipenjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

"Kerajaan memandang serius kegagalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ini. Apabila sampai ke rumah, ramai yang cuba keluar atau bergerak bebas dalam rumah, sedangkan sepatutnya hanya berada di dalam bilik dan tidak bercampur dengan ahli keluarga selama 14 hari.

"Di Melaka, seorang penuntut yang pulang dari Russia mulanya didapati negatif Covid-19 sewaktu saringan awal, namun akhirnya disahkan positif ketika berada di rumah.

"Penuntut ini kemudian menjangkiti bapanya. Jadi, tindakan gagal mematuhi SOP bukan saja membahayakan diri sendiri, tapi keluarga yang tinggal serumah," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

ANGGOTA Perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melihat borang deklarasi kesihatan bagi membantu petugas kesihatan dalam saringan Covid-19 di KLIA. FOTO Bernama.
ANGGOTA Perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melihat borang deklarasi kesihatan bagi membantu petugas kesihatan dalam saringan Covid-19 di KLIA. FOTO Bernama.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PDRM menahan dan mengeluarkan kompaun terhadap 22 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti membabitkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial dan aktiviti yang melanggar SOP.

"Sebanyak 3,821 pasar raya; 5,545 restoran serta 1,954 penjaja; 1,326 kilang dan 2,787 pasar awam diperiksa. Turut diperiksa, 3,783 tempat ibadat serta 1,479 tempat riadah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 3:58 PM