GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Kerajaan negeri membenarkan individu lengkap vaksinasi Covid-19 memasuki Sabah tanpa perlu menjalani kuarantin semasa pelaksanaan Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun dalam kenyataan media yang dikeluarkan semalam memperincikan beberapa ketetapan dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dikemas kini harus dipatuhi sekiranya ingin memasuki Sabah.

Menurutnya, bagi individu dengan status lengkap vaksinasi harus menunjukkan hasil ujian saringan atau menggunakan kit ujian kendiri Covid-19 dengan keputusan negatif yang disahkan klinik atau makmal bertauliah berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tempoh sah laku ujian adalah selama tiga hari selepas pengambilan sampel sebelum memasuki Sabah di samping turut diminta mengisi borang deklarasi kesihatan atau 'eHealth Declaration Form' di laman sesawang rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

"Selain itu, individu yang memasuki Sabah harus sertakan bukti status lengkap divaksin semasa penilaian risiko di pintu masuk Sabah dan ia juga tertakluk dengan penilaian risiko oleh petugas kesihatan.

"Walau bagaimanapun sekiranya didapati bergejala, individu terbabit akan diarahkan untuk menjalani kuarantin wajib di rumah.

"Bagi kanak-kanak dan remaja di bawah 12 tahun yang memasuki Sabah bersama penjaga yang lengkap vaksinasi dinasihatkan menjalankan pemantauan kendiri di rumah selama 10 hari," katanya.

Selain itu, bagi individu yang belum menerima vaksin atau belum menerima vaksin lengkap diarahkan menjalani kuarantin wajib di rumah selama 10 hari di samping syarat kemasukan seperti menjalani ujian saringan dan mengisi borang deklarasi kesihatan turut diwajibkan.

Selain itu bagi pengembara antarabangsa, Masidi juga menegaskan individu dari luar negara memasuki Sabah wajib lengkap vaksin dan hasil ujian saringan dengan keputusan negatif dalam tempoh tiga hari sebelum perjalanan.

Pengembara antarabangsa juga diwajibkan menjalani kuarantin di rumah atau hotel kuarantin yang telah diwartakan kerajaan negeri dan mengisi borang deklarasi kesihatan.

Dalam pada itu, Masidi dalam perincian SOP berdasarkan kenyataan semalam juga menjelaskan definisi lengkap pelalian sebagai syarat memasuki Sabah.

"Penerima vaksin yang memerlukan dua dos yang dibenarkan memasuki Sabah adalah Pfizer-BioNTech, Sinovac dan AstraZeneca selepas 14 hari menerima dos kedua.

"Bagi vaksin yang memerlukan satu dos, hanya individu yang menerima vaksin CanSino dan Jansen selepas 28 hari suntikan diterima yang dibenarkan memasuki Sabah," katanya.

Setakat semalam, hampir 70 peratus penduduk Sabah sudah menerima dos lengkap pelalian terhadap Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 4:15 PM