GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang ibu tunggal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuai menjaga anak lelakinya, hingga cedera di bahagian lengan dan bawah ketiak kanak-kanak itu.

Peniaga barangan kosmetik dalam talian berusia 25 tahun itu, didakwa melakukan kesalahan terhadap anaknya yang berusia setahun tujuh bulan di sebuah rumah di Setapak di sini pada bulan ini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahrizzat Amadan menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin, manakala peguam Zulkifli Awang yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan, dengan alasan anak guamnya menanggung ibu bapanya di kampung.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan tertuduh dilarang menghubungi pengadu dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid menetapkan 14 Januari 2021 untuk sebutan semula kes.

Difahamkan pengadu adalah bapa kandung kanak-kanak itu, yang juga bekas suami tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2020 @ 4:23 PM