Mahadi Mohd Din.
Mahadi Mohd Din.
Abnor Hamizam Abd Manap


"SAYA ada hantar mesej ke WhatsApp isteri pada 5 petang semalam, bertanyakan sama ada sudah balik dari Port Dickson atau belum, tetapi tidak berjawab.

"Saya tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah dimaklumkan ahli keluarga mengenai kemalangan mengorbankan isteri dan kakak ipar saya pada 5.15 petang," kata Mahadi Mohd Din, hari ini.

Mahadi, 58, adalah suami kepada Faridah Sutin, 55, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 13 Lebuh Raya Seremban-Port Dickson, petang semalam.

Mahadi berkata, isterinya dan arwah kakak iparnya, Norazimah, 57, sepatutnya pergi ke Port Dickson pada Khamis lalu, namun ditunda berikutan anaknya, Muhammad Firdaus, 20, yang turut cedera dalam kemalangan itu, mengikutnya ke tempat kerja.

"Pada pagi Sabtu, mereka bergerak ke Port Dickson dengan tiga kereta termasuk ahli keluarga lain.

"Tiada perubahan pada arwah isteri dan pada malam sebelum kejadian, dia ada berbual mengenai kerjanya sebagai Ketua Penaja Awan Amanah Jempol," katanya ketika ditemui di Kampung Bayai Lama, Jempol, hari ini.

Faridah yang juga Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bayai Lama meninggalkan empat anak iaitu tiga perempuan dan seorang lelaki berusia 19 hingga 35 tahun.

Gambar kenangan dua beradik Faridah Sutin (kiri) dan Norazimah, maut dalam kemalangan di Kilometer 13 Lebuh Raya Seremban - Port Dickson petang semalam.
Gambar kenangan dua beradik Faridah Sutin (kiri) dan Norazimah, maut dalam kemalangan di Kilometer 13 Lebuh Raya Seremban - Port Dickson petang semalam.

Sementara itu, suami kepada arwah Norazimah, Saharudin Awaludin, 61, berkata hubungan dua beradik itu sangat rapat dan sering bersama ke mana sahaja.

Katanya, dia terkejut sebaik dimaklumkan mengenai kemalangan itu oleh anaknya, Alia Husna yang turut cedera dalam kejadian itu.

"Arwah isteri dan anak ada mengajak saya pergi bersama, namun saya tolak kerana mempunyai kerja sebagai peneroka Felda Raja Alias 4.

Manakala Muhammad Firdaus berkata, dia tidak dapat mengingati bagaimana kejadian itu berlaku dan sedih kerana kehilangan ibu dan ibu saudaranya.

Dalam kejadian 4.45 petang semalam, Faridah dan Norazimah maut di tempat kejadian selepas kereta dipandu Muhammad Firdaus hilang kawalan dan terbabas ke kawasan landai di tepi lebuh raya sejauh hampir dua meter.

Berita berkaitan

'2 beradik maut, kereta terbabas'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 6:33 PM