SEBAHAGIAN ahli keluarga warga Singapura menunggu jenazah empat beranak yang terkorban dalam kemalangan  di Jalan Lukut Sepang, semalam.
SEBAHAGIAN ahli keluarga warga Singapura menunggu jenazah empat beranak yang terkorban dalam kemalangan di Jalan Lukut Sepang, semalam.
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: “Mereka sekeluarga ke sana (Port Dickson) untuk bercuti dan sepatutnya pulang ke Singapura semalam (kelmarin). Tapi, malangnya, percutian mereka berakhir di situ,” kata sepupu kepada empat beranak yang maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di simpang tiga lampu isyarat, Jalan Lukut-Sepang, kelmarin.

Kemalangan berlaku pada jam 2.30 petang menyebabkan empat beranak, Rosli Samad, 54, isteri, Maimunah Sapari, 51, dan dua anak mereka, Dayana Sarah serta Nor Amalina, masing-masing berumur 18 dan 21 tahun maut di lokasi.

Dia enggan dikenali berkata, mereka hanya mengetahui kejadian itu menerusi Facebook, lewat petang kelmarin sebelum menghubungi ahli keluarga lain di Singapura untuk mendapat pengesahan.

“Saya dan suami kemudiannya bergegas ke Hospital Port Dickson (HPD) awal pagi tadi (semalam). Kami tidak pasti sudah berapa lama mereka bercuti di sini,” katanya ketika ditemui semalam.

Sementara itu, rakan kepada Rosli yang maut dalam kemalangan itu berkata, arwah bekerja sebagai mekanik motosikal di negara itu dan mempunyai empat anak.

“Mereka dalam perjalanan pulang ke Singapura. Ini adalah khidmat bakti saya kepada arwah sepanjang lapan tahun berkenalan.

“Arwah mempunyai empat anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan tetapi kedua-dua anak lelaki tidak mengikuti arwah bercuti ke sini,” katanya.

Katanya, jenazah Rosli dibawa ke HTJ untuk bedah siasat, manakala isteri serta dua anaknya dibawa ke HPD.

“Tiga van jenazah digunakan untuk membawa pulang jenazah empat beranak itu ke Singapura,” katanya.

Dalam pada itu, jenazah empat beranak warga Singapura sudah dituntut anggota keluarga mereka di Hospital Port Dickson (HPD) dan Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, semalam.

Semua jenazah dibawa balik untuk disemadikan di tanah perkuburan Islam di Choa Chu Kang.

Terdahulu, waris mangsa hadir di pekarangan rumah mayat Hospital Port Dickson sejak jam 8 pagi tadi.

Semalam, empat beranak maut selepas Honda Stream yang dinaiki dirempuh sebuah lori tanpa muatan yang datang dari arah Sepang menuju ke Seremban di Jalan Lukut-Sepang.

Empat orang cedera dalam kemalangan itu yang turut membabitkan tiga kereta, sebuah lori dan sebuah motosikal, jam 2.30 petang semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 10:25 AM