Rosyahaida Abdullah


SERAMAI 115 warga asing yang ditahan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Sepang masih menunggu keputusan ujian saringan ulangan diwajibkan terhadap mereka sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ujian saringan ulangan itu adalah syarat perlu dipenuhi sebelum warga asing terbabit dihantar pulang.

"Kita dalam proses menghantar pulang orang kena tahan, tetapi sebelum hantar, kita akan menjalankan saringan ulangan.

"Mereka sudah disaring sebelum ini dan sekarang satu daripada syarat sebelum mereka dihantar pulang ialah melaksanakan saringan sekali lagi," katanya pada sidang media perkembangan kes Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, daripada 98 orang kena tahan membabitkan 91 warga India serta tujuh warga Nigeria yang disaring di DTI Bukit Jalil dengan dua daripadanya positif dan tidak bergejala.

"Mereka yang dikesan positif sudah diasingkan di hospital untuk rawatan selama dua minggu, begitu juga dengan mereka yang terdedah kepada kes positif, akan dikuarantin untuk tempoh dua minggu," katanya.

Gambar fail, ujian saringan Covid-19 di lapangan. FOTO NSTP.
Gambar fail, ujian saringan Covid-19 di lapangan. FOTO NSTP.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 7:08 PM