ABDUL Latif (tengah) ketika mempengerusi Mesyuarat JKDM di Kuantan. FOTO ASROL AWANG
ABDUL Latif (tengah) ketika mempengerusi Mesyuarat JKDM di Kuantan. FOTO ASROL AWANG
Asrol Awang


SEJUMLAH RM1.264 bilion pembayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sudah dijelaskan kepada 4,316 syarikat sejak 22 Jun hingga 2 Julai lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Abdul Latif Abdul Kadir berkata, pihaknya juga dalam proses untuk mempercepatkan pembayaran balik itu berdasarkan tuntutan diterima.

Menurutnya, syarikat yang sudah mengemukakan tuntutan tetapi belum mendapat pembayaran balik diminta menghubungi jabatan itu atau melayari laman sesawang [email protected].

"Berdasarkan rekod, antara faktor tuntutan tidak diterima kerana dokumen tidak lengkap dan mungkin syarikat terbabit tidak layak atas beberapa kriteria yang ditetapkan.

"Tuntutan tidak berjaya juga disebabkan nombor akaun, alamat dan ahli lembaga pengarah syarikat itu sudah berubah.

"Dalam hal ini, kita juga hendak mengelak berlaku kesilapan dalam pembayaran balik GST kepada syarikat yang tidak layak," katanya pada sidang media di Kuantan, hari ini.

Abdul Latif berkata, syarikat yang tidak berjaya mendapat pembayaran balik masih boleh mengemukakan rayuan kepada JKDM.

Katanya, tuntutan bayaran balik GST masih tertakluk kepada proses penentusahan.

"Pendekatan pembayaran balik GST itu seperti tuntutan berjumlah kurang RM100,000 iaitu semua tuntutan tertakluk kepada penentusahan dan melepasi proses verifikasi.

"Bagaimanapun, syarikat atau penuntut masih terikat kepada proses auditan pada bila-bila masa dalam tempoh masa enam tahun selepas 1 September 2018.

"Bagi tuntuan pembayaran balik GST bernilai RM100,000 dan ke atas, semua tuntutan akan melalui proses penarafan risiko.

"Sekiranya tuntutan melepasi penarafan risiko dan proses verifikasi, pembayaran balik GST akan dibuat sepenuhnya dan syarikat atau penuntut masih terikat kepada proses auditan pada bila-bila masa dalam tempoh enam tahun," katanya.

Pada 15 Jun lalu, Kementerian Kewangan melalui JKDM dalam kenyataan media akan memastikan pembayaran balik GST yang tertangguh dipercepatkan.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dipetik berkata, JKDM diarahkan untuk mempercepatkan proses bayaran balik GST yang tertangguh sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pembayaran balik GST akan dibuat mulai 22 Jun dan pembayaran kepada semua penuntut dijangka akan selesai dibuat selewat-lewatnya pada akhir Disember depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 4:04 PM