LIMA PATI warga Indonesia yang cuba keluar dari negara ini ditahan dalam Operasi Benteng (Op Benteng) di Kuari Sungai Musuh, Teluk Ramunia, Johor. FOTO ihsan ATM
LIMA PATI warga Indonesia yang cuba keluar dari negara ini ditahan dalam Operasi Benteng (Op Benteng) di Kuari Sungai Musuh, Teluk Ramunia, Johor. FOTO ihsan ATM
Nurul Hidayah Bahaudin


LIMA pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang cuba keluar dari negara ini ditahan dalam Operasi Benteng (Op Benteng) di Kuari Sungai Musuh, Teluk Ramunia, Johor.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan sepasukan anggota dari Rejimen Ke-61 Artileri Diraja (61 RAD) diketuai Mejar Paiman Mat Don menahan lima lelaki berkenaan yang berusia antara 20 hingga 40 tahun, kira-kira 4 pagi tadi.

"Dalam kejadian itu juga, sebuah kereta yang dipercayai digunakan untuk membawa keluar PATI berkenaan turut dirampas.

"Selain itu, lima telefon bimbit serta wang tunai RM1,850 dan 1.3 juta rupiah atau bersamaan RM383 turut dirampas menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah hampir RM19,000," katanya.

Kenyataan itu juga memaklumkan semua PATI terbabit dibawa ke Balai Polis Bayu Damai untuk tindakan lanjut sebelum menjalani pemeriksaan Covid-19.

"Pasukan turut meneruskan usaha membuat pencarian dan mengesan saki baki PATI di sekitar Kuari Sungai Musuh, Teluk Ramunia.

"Untuk rekod, pasukan melalui Operasi Merpati (Op Merpati) berjaya menahan 265 PATI yang cuba menyeludup masuk atau keluar dari Malaysia bagi tempoh sepanjang tahun ini.

"Manakala, sejak Pasukan 61 RAD terbabit dalam Op Benteng pula, 104 PATI berjaya ditahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 11:17 AM