Gambar hiasan
Gambar hiasan
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


MAHKAMAH Sesyen Kuala Kangsar, hari ini melepas dan membebaskan seorang penoreh getah atas tuduhan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan, dua tahun lalu.

Hakim Rohaida Ishak membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Kamaruddin Abdul Karim, 54.

Mahkamah turut memerintahkan wang ikat jamin RM5,000 yang dibayar tertuduh sebelum ini dikembalikan.

Peguam tertuduh, Yusof Mohamed Salleh berkata, seramai enam saksi dipanggil bagi memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes itu yang bermula 1 Oktober 2019 dan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hasyutantee Khalil.

Mengikut pertuduhan, Kamarudin didakwa dengan maksud amang seksual menyentuh fizikal kanak-kanak perempuan yang ketika itu berusia 11 tahun di sebuah perkampungan di Gerik pada November 2018.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan amang seksual ke atas mangsa sama pada tarikh, waktu dan lokasi serupa.

Kedua-dua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun serta sebat bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan.

Yusof berkata, anak guamnya lega dan bersyukur dengan keputusan itu yang disifatkan dapat membersihkan kembali namanya selepas mendakwa dianiaya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 2:30 PM