Juwan Riduan


POLIS menahan lapan individu manakala dua lagi diburu dipercayai terbabit kes pergaduhan hingga seorang lelaki maut di Kampung Pulau Penampang, Menggatal, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, empat lelaki dan empat wanita ditahan di lokasi berasingan, 7 malam hingga 9.20 malam tadi.

Katanya, dua lagi suspek lelaki masih bebas dan usaha memburu mereka dijalankan.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira 3 petang apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun datang ke kedai runcit mangsa untuk membeli dua botol air mineral dengan harga RM2.

"Mangsa kemudian memulangkan baki sebanyak RM3 kepada kanak-kanak itu. Apabila dia pulang ke rumah, ibunya tidak puas hati kerana baki wang yang dikembalikan hanya RM3, sedangkan wang yang diberikan kepada anaknya RM10.

"Pada 3.15 petang, ibu kanak-kanak terbabit kembali semula ke runcit milik mangsa dan berlaku pertengkaran mulut kerana mangsa menyatakan wang yang diberikan oleh anaknya hanya RM5," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, selepas itu, bapa kepada kanak-kanak terbabit pula datang sendiri ke kedai runcit dan berlaku pertengkaran mulut dengan mangsa.

"Suspek kemudian menumbuk dada dan kepala mangsa berkali-kali serta turut memukul mangsa menggunakan batang besi.

"Isteri mangsa yang melihat kejadian itu, memukul kepala suspek dengan kayu menyebabkan suspek cedera. Anak saudara mangsa yang berada di tempat kejadian turut dipukul.

"Suspek kemudian dihantar ke hospital untuk rawatan manakala mangsa masih berada di lokasi kejadian dan mengadu sakit dada akibat daripada dipukul oleh suspek.

"Sebaik ambulans bergerak, dua lelaki (yang masih bebas) menyerang mangsa menggunakan batang paip dan kayu menyebabkan mangsa rebah dan tidak sedarkan diri manakala dua suspek kemudian terus melarikan diri.

Menurut Habibi, mangsa kemudian diangkat masuk ke dalam kedai runcitnya sebelum pegawai perubatan tiba dan mengesahkan mangsa meninggal dunia pada 4.49 petang.

"Hasil siasatan di lokasi kejadian menemui tiga batang kayu dan satu batang paip plastik yang dipercayai digunakan oleh suspek yang masih bebas. Siasatan masih diteruskan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Difahamkan, mangsa lelaki berusia 58 tahun itu menghidap penyakit jantung dan masih menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth.

Berita berkaitan:

  • Kerana RM5, nyawa melayang [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2020 @ 1:26 PM