GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

Makassar: Gara-gara mahu mencuri tong gas di kedai, seorang lelaki di Sulawesi Selatan, Indonesia tergamak mempergunakan seorang kanak-kanak.

Lelaki itu menculik sebelum membawa kanak-kanak berusia 10 tahun itu menemaninya ke sebuah kedai runcit.

Polis Bhayangkara Pembina Keamanan dan Ketertiban Masyarakat (Bhabinkamtibmas) Ballaparang, Aipda Syarifuddin berkata, mangsa sebelum itu diumpan suspek dengan wang 5,000 rupiah (RM1.44) ketika bermain di Jalan Bumi Karsa, Kampung Masale, Panakukang untuk mengikutnya ke kedai runcit.

Katanya, suspek turut menipu pemilik kedai runcit kononnya dia adalah bapa kepada kanak-kanak itu.

"Suspek mengaku sebagai orang tua mangsa dan berpura-pura tidak membawa wang ketika ingin membeli empat tong gas seberat tiga kilogram setiap satu," katanya dalam portal Kompas.

Sementara itu pemilik kedai runcit, Ghalib mula curiga apabila suspek tidak kembali semula ke kedai untuk membayar wang.

Katanya, mangsa yang ditinggalkan di kedainya itu menangis sebelum dia melaporkan kes berkenaan kepada pemimpin setempat.

Pada masa sama, ibu bapa mangsa juga melaporkan kehilangan anak mereka kepada di Balai Polis Makassar.

Polis masih memburu suspek yang dipercayai bergerak sendirian melakukan jenayah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 12:39 PM