Air ketum yang dirampas polis dalam serbuan disebuah rumah di FELDA Serting Hilir Dua.
Air ketum yang dirampas polis dalam serbuan disebuah rumah di FELDA Serting Hilir Dua.
Oleh Abnor Hamizam Abd Manap


SEBUAH rumah di Felda Serting Hilir Dua, Jempol yang menjadi 'port' menjual air ketum diserbu polis petang semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif berkata, serbuan jam 2.30 petang itu dijalankan susulan maklumat awam yang diterima.

Katanya, sebanyak 42 bungkus plastik berisi air ketum yang disimpan di dalam tong penyejuk di dapur rumah berkenaan dirampas.

"Setiap bungkusan mengandungi satu liter air ketum dan kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM420.

"Suspek berusia 24 tahun yang juga penduduk tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Khairiel berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjutan berikutan air ketum berkenaan dimasak di tempat lain sebelum dijual di rumah berkenaan.

"Suspek yang negatif dadah dan tiada rekod jenayah lampau direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2020 @ 2:40 PM