Foto hiasan
Foto hiasan
M Hifzuddin Ikhsan

MASALAH gangguan bekalan air yang sering dialami penduduk di Kedah dijangka dapat diselesaikan menjelang 2023.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia susulan pembinaan empat Loji Rawatan Air (LRA) baharu di Jenun Baru, Sungai Limau, Bukit Selambau dan Lubuk Buntar Lama yang dijangka siap dalam tempoh antara dua hingga tiga tahun lagi.

Menurutnya, kerajaan negeri menerima peruntukan lebih RM900 juta daripada Kerajaan Pusat bagi memastikan masalah air diselesaikan dan rakyat mendapat sistem bekalan lebih selesa pada masa hadapan.

"Ketika ini, semua projek terbabit dalam proses penyelesaian tender yang diputuskan kerajaan negeri sebelum ini dan kontraktor yang terpilih akan dilantik segera.

"Kita juga sudah berbincang bersama Kerajaan Pusat dan membawa khabar gembira, saya berasa paling lambat pada 2023 akan ada infrastruktur air lebih baik sekali gus dapat selesaikan masalah yang berlarutan sejak berpuluh tahun lamanya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kedah di Wisma Darul Aman di Alor Setar hari ini.

Sementara itu, Muhammad Sanusi mengumumkan proses pelantikan ahli majlis di semua 12 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri dijangka dapat dibuat dalam tempoh terdekat selepas senarai nama diluluskan pada mesyuarat hari ini.

Jelasnya, pelantikan Ahli Majlis PBT baharu itu turut membabitkan wakil polis, Jabatan Kesihatan Daerah dan badan bukan kerajaan (NGO) selain wakil parti politik yang diyakini mampu menyelesaikan masalah rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2020 @ 4:18 PM