TUAN Ibrahim (kiri)  mengadakan pertemuan dengan Muhammad Sanusi (tengah) bagi membincangkan isu bekalan air dan alam sekitar bersama kerajaan negeri di Wisma Darul Aman. FOTO NOORAZURA ABDUL RAHMAN
TUAN Ibrahim (kiri) mengadakan pertemuan dengan Muhammad Sanusi (tengah) bagi membincangkan isu bekalan air dan alam sekitar bersama kerajaan negeri di Wisma Darul Aman. FOTO NOORAZURA ABDUL RAHMAN
Noorazura Abdul Rahman


KERAJAAN akan memulakan projek membaik pulih saluran paip bocor dari tanah besar ke Pulau Langkawi serta kerja membesarkan takungan air di pulau itu dengan anggaran kos bernilai RM600 juta pada suku pertama tahun depan.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, projek itu menjadi antara keutamaan kerajaan persekutuan dalam memastikan bekalan air di pulau berkenaan mencukupi bagi kegunaan domestik dan sektor pelancongan.

Katanya, selepas siap projek itu kelak, ia akan memberi manfaat dengan tanpa sebarang gangguan bekalan air di Langkawi sehingga 2040.

"Masalah besar dihadapi sekarang adalah gangguan bekalan air di Pulau Langkawi iaitu kira-kira tiga kilometer paip dari tanah besar ke Langkawi perlu dibaik pulih dan dalam masa sama kita perlu besarkan takungan air di sana.

"Alhamdulillah, kita mendapat kerjasama baik dengan kerajaan negeri bagi mengatasi masalah air di Langkawi termasuk di tanah besar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkaitan bekalan air dan alam sekitar bersama kerajaan negeri di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, empat daripada lima projek Loji Rawatan Air (LRA) di Kedah sudah diberi tender untuk dinaik taraf dan dijangka siap pada 2022.

Katanya LRA terbabit adalah LRA Bukit Selambau (RM147.78 juta), LRA Sungai Limau (RM108.41 juta), LRA Jenun Baru (RM161.98 juta) dan LRA Lubuk Buntar Lama (RM57.42 juta).

"Satu lagi LRA iaitu LRA Pelubang (RM455.98 juta) belum diberi tender, semua kos ini akan membabitkan nilai sebanyak RM930 juta.

"Empat LRA ini akan siap pada 2022, bagaimanapun bagi LRA Bukit Selambau dijangka siap lebih awal berikutan kerja naik taraf sudah dijalankan," katanya.

Sementara itu, dalam lawatan kerja terbabit, Tuan Ibrahim turut membincangkan kesiapsagaan kerajaan negeri dalam menghadapi musim kering pada Julai ini.

Beliau memberitahu sebanyak 24 projek alam sekitar dan air diluluskan kepada Kedah membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM4.44 bilion di bawah Rancangan Malaysia ke 11 (RMK-11).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 4:17 PM