Paul (dua dari kanan) menunjukkan rokok seludup yang dirampas pada sidang media di Markas PPM Wilayah Dua, Johor Bahru, hari ini. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Paul (dua dari kanan) menunjukkan rokok seludup yang dirampas pada sidang media di Markas PPM Wilayah Dua, Johor Bahru, hari ini. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Ibrahim Isa


PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menumpaskan satu sindiket penyeludupan rokok dengan jumlah rampasan bernilai hampir RM2.4 juta hasil pemeriksaan ke atas sebuah lori di Jalan Kampung Lapangan Terbang, Batu Pahat, Johor, Isnin lalu.

Komander PPM Wilayah Dua Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, serbuan pada 3 pagi itu dilakukan hasil intipan di kawasan pesisir pantai Tanjung Laboh oleh seorang pegawai dan enam anggotanya.

Katanya, mengikut maklumat, kawasan itu dijadikan tempat memunggah rokok seludup dari bot kecil ke kenderaan darat namun apabila pasukan itu tiba, tiada aktiviti berkenaan berlaku.

"Bagaimanapun kami dapati ada sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di Tanjung Laboh dan ketika anggota kami menghampirinya, pemandunya memecutkan kenderaan untuk melarikan diri.

"Lori berkenaan memasuki jalan menuju ke Pontian namun pasukan kami berjaya memintasnya di Jalan Kampung Lapangan Terbang berdekatan sebuah universiti awam selepas mengejarnya selama hampir lima minit.

"Berikutan itu, kami menahan pemandu lelaki berusia 41 tahun dan pemeriksaan mendapati 204,500 karton rokok putih di belakang lori berkenaan," katanya pada sidang media di Markas PPM Wilayah Dua, Johor Bahru, hari ini.

Menurutnya, lelaki tempatan itu dan lori berkenaan dibawa ke Markas PPM Wilayah Dua bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 kerana menyeludup barang bercukai.

Katanya, pemeriksaan mendapati nilai rampasan rokok itu bernilai RM2,391,680 termasuk duti eksais kastam.

Menurutnya, kejayaan itu adalah rampasan terbesar di Johor tahun ini manakala rampasan di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 19 Oktober lalu sebanyak RM5 juta adalah rampasan terbesar wilayah dua bagi 2017.

Beliau berkata, pihaknya mendapati beberapa sindiket menggunakan modus operandi membawa rokok seludup menggunakan bot dari negara jiran dan memunggahnya di pesisir pantai sebelum dipindahkan ke kenderaan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 6:06 PM