Keadaan pendatang tanpa izin (PATI) dipercayai pelarian rohingya yang menaiki sebuah bot mendarat di kawasan Pantai Teluk Nibung Langkawi. NSTP/IHSAN PEMBACA
Keadaan pendatang tanpa izin (PATI) dipercayai pelarian rohingya yang menaiki sebuah bot mendarat di kawasan Pantai Teluk Nibung Langkawi. NSTP/IHSAN PEMBACA
Raja Noraina Raja Rahim


SURUHANJAYA Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) sudah berhubung dengan pihak berkuasa Malaysia untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung mengenai pelarian Rohingya yang mendarat di Langkawi, kelmarin.

Seramai 269 etnik Rohingya dipercayai belayar dari kem pelarian Cox's Bazar, Bangladesh sejak empat bulan lalu dan memasuki perairan negara melalui Pantai Teluk Nibong, Langkawi pada jam 4.20 pagi kelmarin.

UNHCR dalam kenyataan kepada Harian Metro memaklumkan, pihaknya sudah memohon akses segera kepada kumpulan baru tiba itu bagi menilai keperluan perlindungan mereka.

"Kami juga menawarkan pertolongan kepada kerajaan Malaysia dari segi bantuan kemanusiaan dan perkhidmatan perlindungan selaras tahap antarabangsa," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, tindakan membenarkan pelarian dan pemohon suaka mendarat dengan cepat dan selamat adalah tindakan kritikal demi menyelamatkan nyawa.

Katanya, ia selaras norma antarabangsa bagi perlindungan pemohon suaka dan mereka yang berisiko di laut.

"Ini membolehkan orang yang diselamatkan mendapat bantuan perubatan atau bantuan kecemasan lain yang diperlukan dan boleh memulakan proses menentukan sama ada mereka memerlukan perlindungan antarabangsa," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seramai 269 etnik Rohingya dipercayai menempuh perjalanan selama hampir empat bulan dari kem pelarian di Myanmar mendarat di Langkawi, semalam.

Mereka terdiri daripada 80 lelaki, 138 perempuan, 26 kanak-kanak lelaki dan 23 kanak-kanak perempuan.

Sumber berkata, polis juga menemui satu mayat etnik Rohingya di perairan Langkawi dan dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 5:31 PM