Nurul Hidayah Bahaudin


"KAMI pelik sebab lebih lima jam menunggu, mereka tidak pulang ke rumah sehinggalah kehadiran anggota polis ke rumah memaklumkan mereka sudah tiada akibat kemalangan itu," kata adik Yu Sing Huat, 64, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 19 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) arah dari Kota Damansara ke Damansara, awal pagi semalam.

Dalam kejadian 3.45 pagi itu, Sing Huat dan anak lelakinya, Yu Khang Ean, 30, maut di lokasi kejadian, manakala anak perempuannya, Yu Yeh Suang, 31, parah akibat dirempuh lori dari arah belakang ketika menukar tayar.

Menurut adik mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Yu, 50-an, berkata, pada hari kejadian, anak saudaranya, Khang Ean keluar bertemu rakannya sebelum memaklumkan tayar keretanya pancit di lokasi berkenaan semasa dalam perjalanan pulang ke rumah di Klang, Selangor.

Katanya, Sing Huat dan Yeh Suang kemudian keluar dari rumah kira-kira 1 pagi bagi membantu Khang Ean menukar tayar keretanya yang pancit.

"Bagaimanapun, selepas lebih lima jam menunggu, mereka masih belum juga balik menyebabkan kami risau.

"Kira-kira 7 pagi, beberapa anggota polis tiba di rumah memaklumkan mereka meninggal dunia di lokasi kejadian akibat dilanggar lori ketika menukar tayar kereta," katanya ketika ditemui di Hospital Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Yu berkata, Khang Ean yang juga anak bongsu daripada tiga adik beradik itu sepatutnya pergi ke Kuching, Sarawak untuk bertugas sebagai doktor di Hospital Umum Sarawak pada hari kejadian.

"Penerbangan Khang Ean dijadualkan pada petang hari kejadian namun, dia tidak sempat nak menjalankan tugas. Malah, abangnya yang ketika ini berada di luar negara sudah dimaklumkan berhubung kejadian itu.

"Ketika ini, keadaan Yeh Suang masih kritikal dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas menjalani beberapa pembedahan termasuk di bahagian kaki dan masalah pendarahan dalaman yang dialaminya akibat kemalangan itu," katanya.

Katanya, ahli keluarga yang lain termasuk isteri mangsa kini dalam keadaan tenang dan sudah menerima berita kematian suami serta anak bongsu mereka dalam kejadian itu.

"Kami kini cuma mengharapkan Yeh Suang dapat kembali pulih seperti sedia kala," katanya.

Berita berkaitan:

Tragedi tukar tayar

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2018 @ 6:33 PM