Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. FOTO BERNAMA
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. FOTO BERNAMA
Mohd Amin Jalil


ANGKATAN Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan berdiri teguh di belakang kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga merangkap presiden parti berkenaan

Ketuanya, Muhammad Azim Mustafa berkata, presiden parti perlu diberikan sokongan sepenuhnya dalam usaha beliau untuk memimpin dan menyelesaikan apa juga permasalahan yang melanda dalam parti.

Katanya, Armada Negeri Sembilan yakin dengan kepemimpinan dan kewibawaan beliau untuk menyelesaikan sebarang masalah yang berbangkit dalam parti ketika ini.

"Kami akan memberi sokongan padu kepada beliau terus memimpin parti Bersatu dan memimpin negara.

"Kami yakin dengan kepemimpinan dan kewibawaan beliau untuk menyelesaikan apa juga permasalahan yang berlaku dalam parti dan kita semua harus memberikan beliau peluang dan sokongan.

"Dalam mencari jalan penyelesaian terhadap apa yang sedang melanda Bersatu ketika ini ialah dengan bersama-sama presiden," katanya di Seremban, hari ini.

Muhammad Azim berkata, Armada tidak rela melihat perpecahan dalam Bersatu yang sedang menunjangi kepemimpinan negara itu berterusan kerana ia akan merugikan dan menjejaskan masa depan parti.

Sehubungan itu, beliau berharap semua kepemimpinan dan ahli parti itu memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada Muhyiddin untuk menguruskan permasalahan itu demi keutuhan dan masa depan parti.

"Jika kita sayangkan parti ini, kita perlu memberikan sokongan sepenuhnya kepada Presiden dan sokongan itu tidak bermakna kita menafikan jasa dan sumbangan Tun (Tun Dr Mahathir Mohamad) terhadap parti.

"Kita akui sumbangan Tun kepada parti amat besar tetapi dalam keadaan sekarang kita perlu berikan sokongan penuh kepada Presiden (Muhyiddin) untuk memimpin Bersatu dan ia penting bagi memastikan tiada pihak lain yang akan mengambil kesempatan yang akhirnya akan melemahkan parti," katanya.

Baru-baru ini, Muhyiddin menggesa ahli Bersatu supaya bersabar dan bertenang susulan keahlian Dr Mahathir dan empat pemimpin parti itu, terlucut.

Empat yang lain ialah Timbalan Presiden iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Dr Maszlee Malik serta Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah.

Dr Mahathir, Mukhriz, Syed Saddiq, Maszlee dan Amiruddin sebagai ahli Bersatu terlucut susulan tindakan mereka memilih berada di barisan pembangkang ketika persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Bagaimanapun, kelima-lima pemimpin itu menolak pelucutan keahlian itu dengan mendakwa tindakan berkenaan bertentangan dengan undang-undang serta menafikan hak mereka untuk membela diri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 2:52 PM