ANTARA pemandu yang ditahan kerana memandu dibawah pengaruh alkohol. FOTO IHSAN PDRM
ANTARA pemandu yang ditahan kerana memandu dibawah pengaruh alkohol. FOTO IHSAN PDRM
Essa Abu Yamin


EMPAT lelaki ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Operasi Bersepadu di tiga lokasi sekitar Batu Pahat, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, pemandu berusia 30 hingga 42 tahun itu ditahan dalam operasi bermula 12 tengah malam hingga 4 pagi ini.

Katanya, mereka ditahan selepas pemeriksaan mendapati memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had.

"Seramai 37 pengguna jalan raya dan 35 kenderaan diperiksa dalam operasi itu.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 45 (a) 1 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhan berkata, fokus utama operasi itu adalah mengesan pemandu mabuk, mencegah kegiatan lumba haram dan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Tumpuan operasi adalah di sekitar bandar Batu Pahat, Seri Gading dan Parit Raja meliputi laluan utama ,taman perumahan dan kawasan kampung.

"Orang ramai dinasihatkan sentiasa mematuhi undang-undang di jalan raya bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku terutamanya kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk dan kegiatan mat rempit.

"Operasi akan diteruskan di lokasi yang sudah dikenal pasti bagi mencegah kegiatan lumba haram dan pemandu mabuk, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 4:06 PM