FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Erika George


SEORANG penjawat awam yang bekerja sebagai pemandu ditahan ketika leka menyabung ayam di tepi Jalan Mendamit, Limbang, 4.19 petang semalam.

Malah ini bukan kali pertama lelaki berusia 55 tahun itu ditahan kerana menyabung ayam.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, bagaimanapun, rakan sabung ayam lelaki terbabit dapat melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.

"Suspek yang ditahan berasal dari Kampung Tanah Merah, Nanga Mendamit dan bekerja sebagai pemandu di sebuah agensi kerajaan di bandar Limbang.

"Suspek memberi alasan singgah di lokasi terbabit selepas pulang membeli barang keperluan di bandar Limbang," katanya hari ini.

Menurut beliau, semakan mendapati, suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan aktiviti sabung ayam mengikut Seksyen 3(1) LLPPB 1953.

Turut dirampas peralatan sabung ayam termasuk enam bilah taji ayam berserta sarungnya selain tiga ayam sabung hidup dan seekor yang sudah mati.

"Saki baki individu yang melarikan diri masih dikesan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Langkah-langkah Penganiayaan Binatang 1953 dan Peraturan 3 Peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.6) 2020 kerana melanggar syarat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 5:51 PM