SEKITAR solat Jumaat ketika Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO NSTP
SEKITAR solat Jumaat ketika Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO NSTP
Nazri Abu Bakar


JAWATANKUASA Fatwa Negeri Melaka membenarkan penduduk negeri berkenaan menunaikan solat Jumaat, esok selepas dihalang berbuat demikian hampir tiga bulan disebabkan pandemik Covid-19.

Setiausaha Masjid As-Salihin Kampung Paya Rumput, Roslan Yahya berkata, persiapan rapi sudah dilakukan pihaknya untuk memastikan standard prosedur operasi (SOP) ditetapkan dipatuhi termasuklah aspek kebersihan, keselamatan dan penjarakan sosial.

Katanya, surat jemputan kepada 40 jemaah juga dikeluarkan, malah kesemua jemputan sudah mengisi borang saringan kesihatan secara online bagi memastikan mereka mematuhi Standard Prosedur Operasi (SOP) ditetapkan.

"Apa yang pasti penduduk amat teruja selepas sekian lama tidak dapat menunaikan solat Jumaat. Namun, beberapa penduduk yang sering ke masjid tidak dipelawa kerana berusia lebih 70 tahun dan ada yang uzur," katanya.

Roslan berkata, apa yang melegakan berikutan surau Ar Raudah di Taman Paya Rumput Perdana diberi kebenaran mendirikan solat Jumaat sekali gus membolehkan lebih ramai dalam kalangan ahli kariah mendapat peluang berkenaan.

Bagi salah seorang jemaah, Salim Aman, 55, berkata, solat Jumaat buat pertama kali sepanjang PKPB dan pandemik Covid-19 memberi kelegaan kepada penduduk.

Menurutnya, walaupun tidak semua dapat menunaikan solat namun bersyukur dibenarkan berbuat demikian esok.

"Akan ada penggiliran pada minggu berikutnya untuk (mereka yang tidak dijemput) menunaikan solat Jumaat nanti," katanya.

Sebelum ini, Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, kebenaran itu tertakluk kepada kepatuhan syarat ditetapkan iaitu hanya 40 jemaah termasuk khatib, imam, bilal serta pegawai masjid yang dibenarkan menunaikan solat itu pada satu-satu masa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 5:33 PM