FOTO Hiasan.
FOTO Hiasan.
Ruwaida Md Zain


JEMAAH yang tidak menerima jemputan bagi menunaikan solat Jumaat dinasihatkan menunaikan solat Zohor selepas 30 minit solat Jumaat didirikan.

Demikian kenyataan rasmi Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid menerusi Facebook Jabatan Mufti Negeri Selangor malam tadi.

"Bagi Jemaah yang tidak mendapat jemputan solat Jumaat di mana-mana masjid ataupun surau untuk Kebenaran Jumaat hendaklah mendirikan solat Zohor secara berjemaah di surau.

"Jemaah dinasihatkan supaya dapat menunaikan solat Zohor selepas 30 minit masuk waktu supaya tidak mendahului solat Jumaat di masjid atau surau dengan Kebenaran Jumaat berhampiran.

"Dalam tempoh sebelum menunaikan solat bolehlah diisi dengan bacaan al-Quran atau zikir," katanya di Shah Alam.

Rabu lalu, media melaporkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membenarkan semua masjid dan surau dibuka untuk mendirikan solat Jumaat, berkuat kuasa semalam.

Menurut Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, Sultan Selangor juga berkenan semua masjid dan surau di Selangor dibuka semula untuk mendirikan solat fardu lima waktu secara berjemaah dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 8:16 AM