Asrizal Aris


KESEDIHAN tidak dapat pulang beraya di kampung terubat selepas penduduk di Kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) Sungai Besi, Kuala Lumpur sepakat mencipta suasana kemeriahan seperti beraya di desa dengan memasang pelita.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Abdul Wahab Ismail berkata, sebanyak 200 pelita dipasang secara bergotong-royong dengan Ahli Jawatankuasa (AJK) penduduk kuarters.

Menurutnya, pihaknya mengeluarkan kos sebanyak RM500 sebagai permulaan bagi membeli peralatan pelita seperti bekas pelita, sumbu dan minyak diesel.

"Idea ini tercetus antara saya dan rakan AJK dengan harapan supaya dapat menghilangkan rasa kecewa dan gundah-gulana kerana tidak dapat pulang ke kampung selepas menurut Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi menangani penularan wabak Covid-19.

"Justeru, terciptalah idea ini yang sedikit sebanyak dapat menghilangkan rasa sedih itu serta menaikkan suasana kemeriahan beraya di kampung.

"Alhamdulillah, penghuni di sini memberi sambutan yang menggalakkan dan kerjasama yang baik," katanya ketika ditemui di kuarters berkenaan, malam tadi.

PELITA yang dipasang dengan slogan ‘Raya KL je’ menggamit suasana kampung. FOTO Halim Salleh
PELITA yang dipasang dengan slogan ‘Raya KL je’ menggamit suasana kampung. FOTO Halim Salleh

Menurut Abdul Wahab, mereka memutuskan untuk menggunakan minyak diesel kerana bahan api itu lebih tahan lama berbanding minyak tanah.

"Kami penduduk di sini juga sepakat memasang lampu kelip-kelip berwarna-warni untuk menaikkan suasana di desa dan memasang pelita di padang dengan slogan ringkas 'Raya KL je.'

"Selain itu, kami meriahkan lagi suasana dengan kegembiraan anak-anak yang bermain bunga api," katanya.

Abdul Wahab berkata, dia menasihatkan rakyat negara patuh dengan arahan PKPB dan mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.

Abdul Wahab serta warga JKR Kurters Sungai Besi juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya terutamanya kepada mereka yang beraya di perantauan senasib dengan mereka.

Ahli jawatankuasa kuarters memasang pelita di padang Kuarters JKR Sungai Besi. FOTO Halim Salleh
Ahli jawatankuasa kuarters memasang pelita di padang Kuarters JKR Sungai Besi. FOTO Halim Salleh

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2020 @ 1:59 PM