SAUDAH mahir mengendalikan kerja-kerja di bengkel. FOTO Muhammad Asyraf & Saudah Salleh
SAUDAH mahir mengendalikan kerja-kerja di bengkel. FOTO Muhammad Asyraf & Saudah Salleh
Muhamaad Razis Ismail

MENJADI isteri kepada seorang mekanik bukanlah bermaksud dia mengetahui segalanya berkenaan kereta.

Malah, apabila keretanya pernah rosak dan tersadai di tepi jalan, dia panik sehingga tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

Selain tidak tahu bagaimana cara untuk membuka bonet depan kereta. Bunyi macam lucu, tapi itu yang dilalui Saudah Salleh.

Bagi Saudah, pengalamannya itu memberi gambaran majoriti wanita yang tidak mengetahui selok belok mengenai kereta.

Atas dasar itu, dia bersama suaminya Abdul Rahim Kassim bertekad membuka bengkel membaiki kereta yang memberi fokus kepada wanita sejak empat tahun lalu.

Lebih unik, bengkelnya terletak di Seksyen U2, Shah Alam, Selangor itu turut dicat dengan warna merah jambu yang sering dikaitkan dengan wanita untuk menunjukkan betapa seriusnya mereka ingin membantu golongan itu.

SAUDAH membantu pekerja bengkel. FOTO Muhammad Asyraf & Saudah Salleh
SAUDAH membantu pekerja bengkel. FOTO Muhammad Asyraf & Saudah Salleh

Penulis yang tiba di premisnya terkejut melihat keadaan bengkel yang bersih dan semua peralatan tersusun rapi untuk memberi keselesaan kepada pelanggan wanitanya.

Saudah berkata, sebelum ini dia bertugas dalam bidang perakaunan selama 17 tahun dengan gaji terakhir yang diperoleh mencecah lima angka.

Bagaimanapun dia kemudian membuat keputusan untuk keluar daripada zon selesa demi mengembangkan perniagaan suaminya dalam bidang automotif.

"Saya lihat, perniagaan ini memiliki potensi besar untuk dikembangkan dengan pengurusan yang lebih baik.

"Biarpun lari jauh daripada bidang yang diceburi sebelum ini, saya nekad untuk berhenti kerja demi membangunkan bengkel ini bersama suami," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, pada mulanya mereka beroperasi seperti bengkel kenderaan tipikal lain yang menerima semua pelanggan.

BERSAMA suami memeriksa kenderaan pelanggan. FOTO Muhammad Asyraf & Saudah Salleh
BERSAMA suami memeriksa kenderaan pelanggan. FOTO Muhammad Asyraf & Saudah Salleh

MENGURUSKAN akaun bengkel. FOTO Muhammad Asyraf & Saudah Salleh
MENGURUSKAN akaun bengkel. FOTO Muhammad Asyraf & Saudah Salleh

"Bagaimanapun saya mendapat idea selepas kenderaan yang saya naiki rosak di tepi jalan. Saya sendiri tidak tahu untuk lakukan sehingga terpaksa meminta bantuan mekanik. Saya sebagai isteri mekanik pun berdepan masalah apatah lagi wanita lain di luar sana.

"Berdasarkan peristiwa itu, datang ilham untuk menjadikan bengkel memberi fokus kepada wanita yang kebanyakannya tidak mengetahui mengenai kereta," katanya.

Katanya, dia menyedari kebanyakan wanita khuatir tiga perkara berkenaan kereta.

"Pertama, mereka tidak tahu mengenai kereta, kedua takut ke bengkel dan ketiga takut ditipu. Ketiga-tiga perkara ini saling berkait antara satu sama lain.

"Ada seorang pelanggan wanita, hampir setahun tidak menukar minyak hitam kerana menyangka tidak perlu berbuat demikian selepas tamat tempoh penyelenggaraan dengan pusat servis kenderaan.

"Antara punca masalah ini berlaku kerana pemilik bengkel atau mekanik sendiri tidak menjelaskan kepada pelanggan wanita. Atas sebab itu, ramai wanita yang hanya datang ke bengkel apabila kereta sudah tidak dapat bergerak," katanya.

PELANGGAN wanita turut diberi penerangan. FOTO Muhammad Asyraf & Saudah Salleh
PELANGGAN wanita turut diberi penerangan. FOTO Muhammad Asyraf & Saudah Salleh

Menyedari perkara itu, pihaknya tampil menyediakan solusi untuk membantu wanita yang berdepan masalah berkenaan.

"Mekanik di sini sudah dilatih untuk memahami 'bahasa' yang sering digunakan wanita berdepan dengan masalah kenderaan. Umpamanya jika ada pelanggan wanita yang hubungi bengkel memberitahu terdengar bunyi di bahagian kereta, kita ada 'skrip' untuk tanya bagaimana bunyi itu, di mana dan bila?

"Menerusi maklumat yang diperoleh daripada jawapan pelanggan itu, sedikit sebanyak kita dapat diagnosis 'penyakit' sebenar kenderaan yang rosak itu," katanya.

Mengulas lanjut, biasanya pelanggan wanita yang datang ke bengkel ini turut diberikan nasihat sesuai mengenai perkara asas penjagaan kereta.

"Sekurang-kurangnya mereka maklum bagaimana memastikan penjagaan kereta sentiasa dalam keadaan baik seperti penukaran minyak hitam, angin tayar dan panduan untuk kenal pasti masalah awal yang dihadapi kereta.

BENGKEL berwarna merah jambu. FOTO Muhammad Asyraf & Saudah Salleh
BENGKEL berwarna merah jambu. FOTO Muhammad Asyraf & Saudah Salleh

"Menerusi cara ini, kesedaran wanita dapat dipertingkatkan sekali gus mengelakkan kenderaan alami kerosakan lebih serius," katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa hadapan, Saudah berkata, dia berhasrat untuk membuka sekurang-kurangnya lima cawangan dalam tempoh lima tahun.

"Selain itu, kami rancang untuk membuka kelas di bengkel untuk memberi panduan perkara asas penjagaan kereta sekali gus memberi kesedaran kepada mereka," katanya.

Sementara itu salah seorang pelanggan tetapnya, Iera Yusoff berkata, dia selesa untuk ke bengkel terbabit biarpun perlu memandu dari Meru, Klang semata-mata untuk mendapat perkhidmatan terbaik.

"Alat ganti yang digunakan sangat berkualiti dan mekanik akan menjelaskan mengenai masalah kereta serta memberi cadangan terbaik dengan kos berpatutan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2020 @ 7:00 AM