ANGGOTA polis dan tentera bertugas di SJR di Kilometer 24.5 Jalan Bahau-Keratong berhampiran Ladang Geddes, Jempol. FOTO ABNOR HAMIZAM
ANGGOTA polis dan tentera bertugas di SJR di Kilometer 24.5 Jalan Bahau-Keratong berhampiran Ladang Geddes, Jempol. FOTO ABNOR HAMIZAM
Abnor Hamizam Abd Manap
am@hmetro.com.my


SEMUA 440 anggota dan pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol serta tujuh balai polis daerah itu bertugas ketika Aidilfitri ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, biarpun tidak dapat bercuti, semua anggota dan pegawai komited menjalankan tugas.

"Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKBP), kami berusaha memastikan arahan prosedur operasi standard (SOP ) dipatuhi orang ramai dan menjalankan pemantauan serta rondaan 24 jam.

"Kami turut mengetatkan sekatan jalan raya (SJR) di dua lokasi sempadan daerah bagi memastikan tiada individu mengambil kesempatan merentas negeri.

"Pihak pengurusan IPD Jempol berbangga dengan komitmen anggota dan pegawai yang mengutamakan tugas biarpun ada sudah tidak pulang beraya selama lima tahun," katanya ketika ditemui, malam ini.

Mohd Hafiz berkata, polis akan memastikan semua SOP PKPB dipatuhi orang ramai termasuk mengadakan pemeriksaan di surau, masjid dan rumah ke rumah.

Katanya, tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat orang ramai merentas negeri termasuk dikompaun dan diarahkan berpatah balik ke tempat asal dengan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 11:08 PM