Peniaga ikan di Pasar Besar Gua Musang menerima bekalan pada harga yang mahal. Foto Ramli Ibrahim
Peniaga ikan di Pasar Besar Gua Musang menerima bekalan pada harga yang mahal. Foto Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim

"HANYA ikan selayang yang mampu dibeli sebelum ini tetapi dalam tempoh seminggu lalu harganya di Pasar Besar Gua Musang tu melambung tinggi," kata penduduk Gua Musang, Esah Husin, 68.

Menurutnya, ikan itu yang dijual daripada RM7 sekilogram sebelum ini naik kepada RM10 hingga RM12 sekilogram sekali gus membebankannya.

Dia mengakui tidak mampu membeli ikan lain termasuk kembung, tongkol dan selar yang semuanya lebih mahal.

"Ikan selayang adalah untuk orang seperti saya yang berpendapatan rendah dan bergantung kepada bantuan setiap bulan.

"Saya terkejut dengan kenaikan harga ikan kerana yang dijual di pasar Gua Musang tidak segar seperti yang ada di pasar sekitar Kota Bharu," katanya hari ini.

Seorang peniaga ikan pula, Daud Yusoff, 52, ketika ditemui berkata, peniaga bukan sengaja menaikkan harga ikan.

Menurutnya, ia kerana semua jenis ikan termasuk selayang diambil daripada pembekal sekitar Pasir Puteh dan Bachok dengan harga yang sudah tinggi.

"Kami peniaga juga memikirkan bebanan perbelanjaan bagi mereka yang berpendapatan rendah tetapi apa boleh buat terpaksa ikut pasaran," katanya.

Dia berkata, memang semua jenis ikan yang dijual di pasar bandar itu sama saja harganya sambil mengakui harga ikan selayang pernah dijual RM7 sekilogram sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 10:58 AM