Saifuddin sedang melayan pelanggan di gerai ikannya di Pasar Bukit Besar, Kuala Terengganu. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Saifuddin sedang melayan pelanggan di gerai ikannya di Pasar Bukit Besar, Kuala Terengganu. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.my


SELEPAS fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, harga ayam didapati naik sebanyak RM1.70 daripada RM4.80 kepada RM6.50 sekilogram di Pasar Bukit Besar di Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, berbeza dengan harga pelbagai jenis ikan seperti selayang, kembong dan tongkol yang masih stabil dalam tempoh sama.

Tinjauan turut mendapati harga bawang kecil, santan dan daging juga masih kekal.

Peniaga ayam, Harun Abdullah, 55, berkata harga ayam tidak menentu sejak arahan PKP dikeluarkan.

“Permintaan tinggi di kalangan pengguna menyebabkan harga ayam meningkat dan dijangka akan terus meningkat dalam tempoh terdekat.

“Sebelum PKP berkuat kuasa, harga ayam sekitar RM4 sekilogram, tetapi kini mencecah RM6.50 sekilogram, malah ada segelintir peniaga menjual pada harga RM6.80 sehingga RM7 sekilogram,” katanya.

Katanya, berbeza dengan ayam kampung kerana masih kekal pada harga RM15 sekilogram.

“Bukan peniaga yang sesuka hati menaikkan harga ayam kerana ia ditentukan oleh pemborong.

“Bimbang juga sekiranya harga ayam semakin meningkat dalam tempoh terdekat kerana ia akan membangkitkan kemarahan pelanggan,” katanya.

Peniaga ikan, Mohd Saifuddin Ismail, 39, berkata harga ikan tidak meningkat seperti yang dijangka sejak PKP berkuat kuasa.

Menurutnya, sehingga kini kenaikan harga ikan tidak berlaku sebaliknya semakin menurun.

“Ikan selayang dijual pada harga RM8 sekilogram berbanding RM10 sekilogram sejak PKP, manakala ikan kembung pula RM15 sekilogram berbanding RM18 sekilogram sebelum ini.

“Cuma harga udang dan sotong masih tinggi iaitu RM30 hingga RM35 sekilogram, namun harganya masih stabil seperti sebelum dan sejak PKP berkuat kuasa,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 11:11 AM