PREMIS jual ayam beku di Bandar Gua Musang menjadi pilihan orang ramai kerana ayam boleh dibeli dengan harga RM7 sekilogram. FOTO RAMLI IBRAHIM
PREMIS jual ayam beku di Bandar Gua Musang menjadi pilihan orang ramai kerana ayam boleh dibeli dengan harga RM7 sekilogram. FOTO RAMLI IBRAHIM
Ramli Ibrahim

AYAM beku menjadi pilihan pengguna sekitar Gua Musang apabila harganya hanya RM7 sekilogram berbanding ayam segar yang dijual di pasar iaitu kira-kira RM9 sekilogram.

Mereka mengakui harga ayam segar yang naik mendadak sejak kebelakangan ini menimbul pelbagai keraguan dan membebankan.

Tinjauan mendapati hanya sebuah premis yang menjual ayam beku di bandar Gua Musang semakin mendapat tumpuan orang ramai kerana lebih murah.

Seorang pelanggan, Ahmad Abdullah, 51, berkata, dia selalu membeli ayam segar yang dijual antara RM3.50 hingga RM6 sekilogram sebelum ini.

Menurutnya, sejak seminggu lalu harga ayam segar yang dijual di pasar naik hingga ada yang menjual RM8.30 dan RM9 sekilogram.

Katanya, dia juga tidak tahu sebab sebenarnya harga ayam segar itu naik mendadak tetapi disebabkan keperluan terpaksa beli juga.

"Kami juga mula beralih kepada pembelian ayam beku kerana jimat belanja terutama bulan Ramadan dan tidak lagi menyambut Aidilfitri pula," katanya.

Seorang peniaga, ayam, Ramlah Ismail, 47, pula berkata, kenaikan harga itu bukan disengajakan untuk mencari keuntungan lebih.

Sebaliknya, dia berkata, ayam segar itu diambil daripada pembekal dengan harga tinggi iaitu RM8.30 sekilogram berbanding sebelum ini kurang sedikit.

"Takkan kami hendak jual ayam segar dengan harga beli mana keuntungan kepada kami yang berniaga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2020 @ 2:14 PM