VIDEO rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan penghantar makanan wanita terbabit ditendang beberapa kali lelaki itu hingga terjatuh.
VIDEO rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan penghantar makanan wanita terbabit ditendang beberapa kali lelaki itu hingga terjatuh.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


TINDAKAN seorang lelaki menendang penghantar makanan wanita hingga terjatuh dalam kejadian di Bandar Puteri Puchong, di Serdang, hari ini, mengundang protes kumpulan berkenaan.

Susulan kejadian itu, sekumpulan penghantar makanan dilihat berkumpul di hadapan premis berkenaan melakukan protes terhadap perbuatan lelaki terbabit.

Terdahulu, video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 57 saat memaparkan penghantar makanan wanita terbabit ditendang beberapa kali lelaki itu hingga terjatuh.

Selain video itu, turut tular di laman sosial adalah video lelaki yang didakwa menendang wanita berkenaan dipercayai dirakam penghantar makanan lain.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku apabila lelaki terbabit didapati tidak puas hati kerana wanita yang menunggang motosikal memotong ketika dia ingin membuat pusingan U.

"Akibat kejadian, lelaki terbabit menunjukkan isyarat lucah sebelum bertindak menolak mangsa.

"Mangsa turut ditendang sebanyak tiga kali di bahagian pinggang menyebabkan dia jatuh," katanya.

Menurutnya, susulan kejadian itu mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Puchong untuk tindakan lanjut.

"Kedua-dua individu berkenaan sudah dirakam keterangan dan pengadu bersetuju untuk menyelesaikan kes berkenaan secara baik serta menarik balik laporan polis yang dibuat," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan dalam kenyataannya mengesahkan, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK).

Katanya, kedua-dua pihak sudah dipanggil dan dirakamkan percakapan.

"Siasatan mendapati dalam kejadian itu terdapat perselisihan faham antara kedua-dua individu terbabit. Namun, tiada kecederaan dialami kedua pihak.

"Kertas siasatan akan dilengkapkan dan diminta semua pihak bertenang dan tidak mengeluarkan komen yang boleh memecahkan keamanan dan mendatangkan kegusaran awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2020 @ 9:02 PM