MAZUKI. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
MAZUKI. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Parit Buntar: Polis menafikan pergaduhan berunsurkan perkauman membabitkan dua lelaki, termasuk seorang penghantar makanan, yang didakwa berlaku di Parit Buntar di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Mazuki Mat berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada Ahad lalu dan video kejadian yang tular di media sosial.

Menurut Mazuki, kejadian berpunca daripada seorang lelaki berusia 34 tahun yang mengesyaki penghantar makanan berusia 27 tahun itu mempunyai hubungan sulit dengan isterinya.

"Siasatan dijalankan ke atas kedua-dua belah pihak mendapati, punca kejadian diakibatkan oleh salah faham yang mana penghantar makanan itu tiada hubungan sulit dengan isteri lelaki terbabit.

"Sebaliknya, penghantar makanan itu mengenali wanita terbabit sebagai rakan sekerja sejak lapan tahun lalu. Ketika kejadian, mangsa sedang menghantar makanan yang dipesan oleh wanita berkenaan," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut Mazuki, susulan kejadian, kedua-dua pihak berbincang untuk menyelesaikan kes secara baik dan satu laporan polis sudah dibuat bagi menarik balik laporan berkaitan kes berkenaan.

"Kami menasihati masyarakat supaya tidak menyebarkan sebarang berita tidak benar hingga menimbulkan kegusaran awam kerana tindakan undang-undang boleh diambil," katanya.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 11 saat memaparkan dua lelaki bergaduh dalam garaj sebuah rumah yang turut disaksikan orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 4:09 PM