Ismadi. FOTO NSTP
Ismadi. FOTO NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SEORANG lelaki cedera di bahagian kepala selepas dipukul dalam kejadian samun di Pusat Bandar Puchong, di Serdang, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa berada di tempat kerjanya di pusat pameran kereta.

“Mangsa secara tiba-tiba didatangi dua lelaki sebelum diserang. Seorang daripadanya bersenjata besi panjang.

“Suspek kemudian merampas beg milik mangsa yang mempunyai dokumen kerja sebelum melarikan diri ke luar pusat pameran berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di Kuala Lumpur, hari ini.

Ismadi berkata, mangsa bernasib baik apabila dua anggota polis dari Balai Polis Puchong Jaya yang sedang melakukan rondaan di kawasan berkenaan berjaya menahan kedua-dua suspek.

“Hasil siasatan polis berjaya menahan seorang lagi suspek di Kuala Lumpur. Siasatan mendapati motif kejadian dipercayai dendam dalam urusan perniagaan.

“Polis percaya dapat menyelesaikan kes berkenaan dengan tertangkapnya semua suspek,” katanya.

Katanya, dua daripada suspek direman sehingga 3 Februari ini bermula 25 Januari lalu dan seorang lagi rakan sejenayah mereka direman sehingga 4 Februari.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 January 2020 @ 6:02 PM