GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Asrol Awang


KES demam denggi di Pahang meningkat sehingga 118.2 peratus kepada 1,115 kes setakat 16 Mei lalu.

Peningkatan berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan 511 kes.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, Kuantan merekod kes paling tinggi dengan 796 kes yang mewakili 71.4 peratus daripada keseluruhan Pahang.

Katanya, Kuantan juga mempunyai 46 lokaliti wabak berbanding 53 keseluruhan yang dikesan, dengan anggaran satu kes denggi bagi setiap 700 penduduk.

"Jika dibandingkan tempoh sama tahun lalu, hanya 24 lokaliti wabak sahaja (seluruh Pahang). Jumlah ini meningkat 120.8 peratus.

"Kita mengesan 10 lokaliti bermasalah iaitu kawasan Sungai Isap-Taman Sungai Isap 1, Taman Sungai Isap Murni dan Taman Sungai Isap Jaya di sini yang merekod 24 kes.

"Selain itu di Felda Chini Timur, Pekan (lima kes), Padang Tengku, Lipis (11 kes), Taman Mahawangsa Bukit Sekilau, Kuantan (empat kes), Jalan Tanjung Api, Kampung Baru dan Taman Tunas Jaya 3, masing-masing tiga kes," katanya pada sidang media selepas Program Cegah Denggi Fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Isap Murni di Kuantan, hari ini.

Syed Ibrahim meminta penduduk supaya mematuhi arahan pengawalan wabak denggi bagi mengelak keadaan lebih buruk dan memastikan persekitaran rumah sentiasa bersih.

Beliau mencadangkan amalan pembersihan dilakukan setiap minggu selama 10 minit di kawasan kediaman atau tempat kerja bagi menghapuskan tempat pembiakan Aedes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 4:28 PM