BETTY ketika menziarahi Aida Agil. FOTO Omar Ahmad
BETTY ketika menziarahi Aida Agil. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad


PENYANYI era 90-an, Aida Agil, 61, masih mempunyai minat mendalam terhadap industri nyanyian, biarpun kini keadaan kesihatannya tidak mengizinkan.

Dia yang tinggal dengan adik bongsunya, Ruby, 49 di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang, Stulang Laut, Johor Bahru, masih menggunakan tongkat untuk bergerak.

Katanya, dia diduga dengan penyakit Bell's Palsy yang menyebabkan sebahagian sistem sarafnya terganggu dan lemah sejak 2002.

Tiga tahun lalu, penyanyi yang dikenali dengan lagu Segalanya Pasti itu, jatuh longkang yang menyebabkan kaki kirinya patah.

"Tahun 2017, saya terjatuh longkang yang menyebabkan kaki kiri patah, selepas sebulan simen dan kaki dibuka, saya mendapat peluang mengerjakan umrah bersama rakan artis menerusi Program Umrah Penggiat Seni.

"Selepas pulang dari umrah, kaki saya ini susah hendak pulih dan terpaksa menggunakan tongkat ketika berjalan di luar rumah.

"Saya ada makan makanan tambahan, makan ubat, tetapi kaki patah ini susah hendak pulih. Tetapi ada peningkatan, sebab dulu dalam rumah pun susah hendak jalan... kena bertongkat atau pegang dinding. Sekarang, kalau dalam rumah sudah boleh berjalan sendiri tetapi perlahan, takut terjatuh.

"Dengan keadaan begini ditambah dengan darah tinggi serta kencing manis, saya tinggal bersama adik bongsu, Ruby, 49 selepas adik lelaki bersama keluarganya yang dahulu menjaga saya berpindah," katanya yang mendapat bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Aida ternyata terharu dengan kunjungan rakan artis seperti Betty Banafe dan Rahmat Mega bersama Team Jariah Banafe.

Dia terkejut apabila ada rakan artis yang bukan sezaman dengannya seperti Betty mahu hadir ke kediamannya.

"Semasa adik maklumkan kata Betty hendak datang melihat keadaan saya. Saya terperanjat kerana ingat orang sudah lupakan saya.

"Mula rasa malu, sebab rumah kecil, tetapi Alhamdulillah saya terharu dengan kedatangan mereka," katanya yang turut menerima barangan keperluan harian termasuk tepung, telur dan hamper dari Team Jariah Banafe.

Sementara itu, Betty berkata, sesetengah pihak mungkin terlepas pandang dalam menghulurkan bantuan dan sumbangan.

"Saya selalu ingatkan kepada team Jariah Banafe dalam membantu golongan susah dan memerlukan. Jangan lupa kita kenang jasa baik orang lama industri kita sebab kalau tiada mereka tiada kita.

"Kita kena utamakan kebajikan mereka kerana mereka ini tidak ada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti orang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 10:05 AM