KEADAAN kemalangan yang membabitkan seorang pekerja kilang maut selepas motosikal ditunggangi bertembung dengan sebuah MPV di persimpangan lampu isyarat Jalan Sungai Nyior, Butterworth. FOTO Ihsan PDRM
KEADAAN kemalangan yang membabitkan seorang pekerja kilang maut selepas motosikal ditunggangi bertembung dengan sebuah MPV di persimpangan lampu isyarat Jalan Sungai Nyior, Butterworth. FOTO Ihsan PDRM
Nur Izzati Mohamad

PEKERJA kilang maut selepas motosikal ditunggangi bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu seorang jururawat di persimpangan lampu isyarat Jalan Sungai Nyior, Butterworth, hari ini.

Dalam kejadian 7 pagi, mangsa Muhammad Azuan Azhari, 23, meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ketika kejadian mangsa dan jururawat sebuah hospital swasta berusia 40 tahun itu dalam perjalanan ke tempat kerja masing-masing.

"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan dipandu jururawat itu bertembung dengan motosikal dinaiki mangsa.

"Jururawat itu memandu kenderaannya ke Butterworth, manakala mangsa pula menunggang motosikal untuk ke kilangnya di Seberang Jaya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat.

Katanya, orang ramai yang menyaksikan kemalangan diminta tampil memberi maklumat kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Nursyafinaz Abd Aziz di talian 018-2881424.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2020 @ 2:39 PM