Nurul Hidayah Bahaudin dan Rosyahaida Abdullah


SERAMAI 131 individu disahkan positif Covid-19 selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan saringan terhadap 768 kontak rapat bagi kluster Pedas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ketika ini pengesanan kontak rapat masih giat dilakukan dan kilang itu sudah ditutup.

"Kalau kita lihat untuk kluster Pedas khususnya di kawasan kilang berkenaan, ia sudah pun dikawal dan langkah pencegahan termasuk aktiviti nyah cemar masih dijalankan.

"Setakat ini, kita sudah pun melaksanakan pengesanan kontak rapat iaitu mengesan, menguji dan serta mengasingkan mereka yang positif.

"Seramai 131 kes positif direkodkan bagi kluster ini manakala mereka yang negatif kita kuarantinkan. Setakat ini 768 kontak rapat sudah pun dikenal pasti dan diuji," katanya pada sesi soal jawab sidang media harian Covid-19 KKM di Putrajaya, hari ini.

Kluster Pedas wujud selepas pekerja kilang di kawasan itu didapati positif Covid-19 yang kemudiannya merebakkan virus itu kepada rakan sekerjanya terdiri daripada warga Nepal, Bangladesh, Indonesia dan Myanmar.

Anggota Rejimen Askar Melayu Diraja megawal sebuah kawasan Kilang Ayam yang terdapat 60 kes positif Covid-19 melibatkan 7 warga negara Malaysia dan 53 warga negara asing. FOTO ADZLAN SIDEK
Anggota Rejimen Askar Melayu Diraja megawal sebuah kawasan Kilang Ayam yang terdapat 60 kes positif Covid-19 melibatkan 7 warga negara Malaysia dan 53 warga negara asing. FOTO ADZLAN SIDEK

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2020 @ 6:30 PM