Keadaan kenderaan yang dinaiki dua sahabat terbakar selepas terbabas di Jalan Sangan-Merit, Tatau pada 6 petang semalam. Foto Erika George
Keadaan kenderaan yang dinaiki dua sahabat terbakar selepas terbabas di Jalan Sangan-Merit, Tatau pada 6 petang semalam. Foto Erika George
Erika George

DUA lelaki rentung selepas pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas dan terbakar di Jalan Sangan-Merit, Tatau pada 6 petang semalam.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, mangsa maut itu dikenali sebagai Nelson Kana Meliu, 32, dipercayai pemandu kenderaan terbabit dan rakannya, Ginol Sanyu, 47.

Menurutnya, dipercayai kedua-dua mangsa dalam perjalanan balik dari pekan Tatau menuju ke kediaman Nelson di Rumah Panjang Danggat, Sungai Kana.

"Siasatan awal mendapati kenderaan dinaiki dua rakan itu hilang kawalan sebelum terlanggar tembok batu di tepi jalan sebelum terbakar," katanya.

Menurut Alexson, kedua-dua mangsa dipercayai terperangkap dalam kenderaan berkenaan sejurus berlaku kemalangan itu.

"Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengetahui punca kemalangan itu dan dalam masa yang sama kita berharap agar saksi kejadian dapat tampil memberikan keterangan bagi membantu siasatan.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Bintulu untuk proses bedah siasat.

Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau turut ke lokasi kejadian pada 6.49 petang bagi memadam kebakaran yang memusnahkan 100 peratus kenderaan terbabit.

Bomba mengambil masa hampir dua jam bagi memadam kebakaran dan api dikawal sepenuhnya pada 8.50 malam sebelum bertindak mengeluarkan mayat dari kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2020 @ 11:05 AM