GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hazira Ahmad Zaidi


SERAMAI 25 individu ditahan Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) dalam operasi khalwat sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk ketika Ramadan.

Ketua Penolong Pengarah Penguat kuasa JAHEAIK, Mohd Fadzuli Mohd Zain berkata, tangkapan itu membabitkan sembilan kes yang direkodkan sejak hari pertama PKP, 18 Mac lalu sehingga kelmarin.

Beliau berkata, pihaknya bertindak atas maklumat orang awam dan operasi yang dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketika PKP.

"Operasi ini diadakan sekitar bandar Kota Bharu di hotel, rumah penginapan, apartmen dan di dalam kereta.

"Mereka yang ditahan adalah 12 lelaki dan 13 wanita berusia antara 20 hingga 50 tahun yang kebanyakannya pasangan kekasih," katanya ketika dihubungi di Kota Bharu, hari ini.

Katanya, mereka gagal memberi alasan yang munasabah untuk berada dalam keadaan bergaul berlainan jantina hingga boleh menimbulkan syak.

Mereka ditahan mengikut Seksyen 9 (1),(2), (3) dan (4) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan kerana berkhalwat.

"Bagaimanapun, mereka dibebaskan selepas selesai memberi keterangan dengan seorang penjamin setiap seorang dan perlu hadir ke mahkamah untuk perbicaraan," katanya.

Mohd Fadzuli turut menjelaskan berkhalwat tidak semestinya pasangan kekasih saja malah kumpulan lelaki dan wanita bukan muhrim yang berada di tempat tertentu seperti dalam rumah dan menimbulkan syak juga adalah khalwat.

"Walaupun dalam tempoh PKP, masih ada individu yang mengambil kesempatan melakukan aktiviti tidak bermoral sehingga mendatangkan mudarat pada diri sendiri.

"Pendekatan yang diambil di dalam operasi ini ialah cuba menyekat dan mencegah perbuatan yang bertentangan dengan hukum syarak dan undang-undang syariah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 6:11 PM