USTAZ Ebit Lew membantu Diana dan keluarganya berpindah ke rumah sewa di Taman Seri Wawasan.  FOTO ihsan Facebook UEL
USTAZ Ebit Lew membantu Diana dan keluarganya berpindah ke rumah sewa di Taman Seri Wawasan. FOTO ihsan Facebook UEL
Roselan Ab Malek


SEORANG tukang cuci dari Kampung Teras, Raub tidak menyangka hasratnya meminta bantuan daripada pendakwah bebas terkenal, Ustaz Ebit Lew mendapat perhatian segera.

Diana Yazid, 32 berkata, dia menulis status di Facebook milik pendakwah terbabit Sabtu lalu, merayu bantuan membaiki dinding dan bumbung pondok didiami mereka sekeluarga yang sering dimasuki air terutama ketika musim hujan.

"Dalam tempoh 10 minit, Ustaz Ebit Lew memberikan maklum balas dan menghubungi saya, selain memberitahu akan ke pondok saya.

"Sebaik tiba, Ustaz Ebit meninjau kawasan pondok didiami bersama suaminya, Qayyimum Norminto, 45 dan anak perempuannya, Aulia Izzatul Nissa, 1 tahun 4 bulan.

"Bagaimanapun, saya tidak menduga Ustaz Ebit mencarikan kami rumah sewa yang lebih selesa dengan kadar sewa RM500 ditanggung sepenuhnya oleh beliau," katanya hari ini.

Malah, Diana berkata, Ustaz Ebit Lew turut menjelaskan sewa selama dua bulan selain turut menanggung bil air dan elektrik.

Katanya, dia dan suami sangat bersyukur dan tidak menyangka pendakwah terkenal itu sanggup ke kampung berkenaan bertemu mereka dan membantu keluarganya.

USTAZ Ebit Lew bersama Diana di hadapan rumah sewa baharu yang berjaya diperolehi oleh pendakwah bebas terkenal terbabit untuk keluarga berkenaan. FOTO ihsan Pembaca
USTAZ Ebit Lew bersama Diana di hadapan rumah sewa baharu yang berjaya diperolehi oleh pendakwah bebas terkenal terbabit untuk keluarga berkenaan. FOTO ihsan Pembaca

"Saya tidak meminta bantuan sampai ke tahap itu tapi rezeki itu datang di dalam bulan yang mulia. Syukur dan terima kasih kepada Ustaz Ebit Lew, jasanya akan kami kenang sampai ke akhir hayat.

"Bagaikan mimpi (dapat tinggal di rumah lebih selesa) dan ini hadiah paling bermakna buat kami sekeluarga untuk Ramadan dan Aidilfitri ini.

"Namun saya dan suami nekad untuk mencari rezeki lebih dan berusaha untuk menjelaskan sewa rumah ini nanti sendiri ," katanya yang berasal dari Pulau Pinang dan menetap di daerah itu sejak tujuh tahun lalu.

Diana berkata, sebelum ini dia bekerja secara separuh masa di sebuah resort dengan pendapatan RM200 sebulan manakala suaminya menoreh getah dengan pendapatan kurang menentu.

Katanya, banyak pihak turut membantu keluarganya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memandangkan keluarga mereka turut terkesan dengan perintah itu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 5:48 PM