Suraya Roslan


Kuala Lumpur: "Saya harap persatuan majikan ini faham apa yang kita lakukan ini untuk menjaga kepentingan seluruh rakyat Malaysia," kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub.

Beliau menjawab dakwaan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) yang mempersoalkan tindakan kerajaan apabila pihak majikan terpaksa menanggung kos kira-kira RM1.15 bilion jika perlu menjalankan saringan Covid-19 ke atas semua pekerja asing yang berdaftar dengan mereka.

Ismail Sabri berkata, lebih 60 peratus daripada pekerja asing itu adalah pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

"Pekerja asing ini akan ditanggung oleh PERKESO untuk melakukan ujian saringan.

"Kita keluarkan arahan terbaru ini kerana bimbang akan wujud kluster baharu iaitu kluster pekerja warga asing disebabkan dua hari berturut-turut berlaku peningkatan agak tinggi terutama pekerja asing di tapak pembinaan yang telah pun ditutup," katanya pada sidang media harian hari ini.

Menurutnya, tindakan kerajaan mahu mencegah peningkatan kes positif mendadak seperti berlaku di negara jiran.

"Singapura yang selama ini agak mendatar kes positif mereka tiba-tiba graf kes baharu naik mendadak disebabkan kluster warga asing.

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO BERNAMA
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO BERNAMA

"Kita tidak mahu perkara itu berlaku di negara ini, harap persatuan majikan faham apa yang kita lakukan ini adalah menjaga kepentingan rakyat Malaysia," katanya.

Menurutnya, jika terdapat dalam kalangan pekerja asing mereka positif wabak itu, tindakan penutupan serta merta akan dilakukan ke atas premis perniagaan mereka.

"Kalau berlaku di kilang ada pekerja warga asing mereka didapati positif akhirnya kita akan tutup kilang mereka.

"Bagi saya adalah lebih baik mereka buka kilang daripada ditutup, kita buat ujian supaya yang positif diasingkan dan dirawat manakala negatif pula boleh bekerja seperti biasa," katanya.

Menurutnya, peringkat awal kerajaan mewajibkan ujian saringan pekerja asing di tapak pembinaan di Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan dan Selangor.

"Mengikut saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kita mulakan di tiga negeri berkenaan terlebih dulu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 5:16 PM