Raja Noraina Raja Rahim


PUSAT jagaan warga emas di Kluang, Johor, diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara pentadbiran.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan diambil selepas terdapat kes positif Covid-19 di pusat jagaan berkenaan.

"Mereka memang berada di dalam pusat jagaan itu. Seperti yang kita laksanakan sebelum ini kita mengadakan PKP secara pentadbiran kita tidak isytiharkan PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan).

"Semua penghuni pusat jagaan berkenaan termasuk pekerja diperintah menjalani ujian saringan Covid-19.

"Pekerja yang keluar masuk kita benarkan tapi mereka juga perlu menjalani ujian saringan," katanya dalam sidang media harian hari ini.

Ismail Sabri berkata, individu atau pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mungkin tidak dibenarkan melawat sepanjang tempoh kuarantin selama 14 hari.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan kluster baharu yang dikesan di sebuah pusat jagaan warga emas di Kluang, Johor.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, kes pertama kluster itu membabitkan kes kematian Covid-19 yang dilaporkan kelmarin iaitu kes ke-8,770 yang mana ujian saringan didapati positif wabak itu.

Sehingga 20 Julai, 39 orang disaring iaitu terdiri daripada 14 kes positif Covid-19, 18 adalah negatif dan tujuh masih menunggu keputusan.

ISMAIL Sabri. FOTO BERNAMA
ISMAIL Sabri. FOTO BERNAMA

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 3:29 PM