SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH
SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH
Norzamira Che Noh


SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar rakyat terus patuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan prosedur operasi standard (SOP) untuk menghentikan penularan pandemik Covid-19.

Baginda menzahirkan perasaan khuatir dengan keselamatan seluruh rakyat khususnya di Selangor susulan peningkatan kes itu.

"Kini, selepas masuk fasa PKPB, di mana kelonggaran diberikan bagi menyokong semula sektor ekonomi, diharapkan agar rakyat kekal berhati-hati dalam menjalankan kembali rutin harian.

"Beta ingin mengingatkan rakyat supaya terus membiasakan amalan 'normal baharu' termasuk keluar dari rumah hanya bila perlu, tidak berhimpun atau menganjurkan rumah terbuka sepanjang Syawal nanti serta sentiasa mengekalkan jarak selamat jika perlu melakukan urusan di tempat awam," titahnya menerusi hantaran di Facebook (FB), Selangor Royal Office di Shah Alam hari ini.

Sultan Sharafuddin juga mengingatkan agar rakyat meneruskan amalan memakai penutup hidung dan mulut serta menjaga kebersihan diri khususnya mencuci tangan dan penggunaan cecair pembasmi kuman dijadikan sebagai satu kemestian apabila keluar dari rumah.

"Nasihat kepada warga emas serta sesiapa yang tidak sihat atau menunjukkan gejala Covid-19, duduk sahajalah di rumah.

"Kepada umat Islam, sambutlah Aidilfitri kali ini dalam suasana sederhana tanpa perlu merentas negeri untuk pulang ke kampung.

"Beta mendoakan agar keadaan akan kembali pulih dan kita mampu untuk menangani penularan wabak ini dengan sebaik mungkin," titah baginda.

Sultan Selangor dalam titahnya turut mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua kakitangan barisan hadapan termasuk doktor, jururawat, kakitangan hospital, pasukan polis, anggota tentera, bomba dan pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang bertungkus-lumus menjalankan tugas masing-masing.

Baginda juga menghargai ketabahan dan kesabaran semua ahli keluarga barisan hadapan di waktu yang mencabar ini.

"Beta juga sering memantau dan meneliti setiap data dan statistik kes jangkitan wabak ini dari semasa ke semasa sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Alhamdulillah, data semasa menunjukkan PKP yang dilaksana berjaya melandaikan keluk (flattening the curve) dan keupayaan hospital dalam merawat kes Covid-19 juga adalah terkawal," titah baginda.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 3:00 PM