SULTAN Sharafuddin Idris Shah (kanan) berkenan menandatangani plak Penamaan dan Pentauliahan KD Panglima Garang di Pangkalan TLDM, Lumut. FOTO Bernama
SULTAN Sharafuddin Idris Shah (kanan) berkenan menandatangani plak Penamaan dan Pentauliahan KD Panglima Garang di Pangkalan TLDM, Lumut. FOTO Bernama
Noor Hidayah Tanzizi


Lumut: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya anggota Pasukan Khas Laut (Paskal) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak sesekali mencemarkan maruah dan kehormatan unit elit itu.

Baginda selaku Kapten Yang Dipertua TLDM bertitah, lambang trimedia yang tersemat di dada adalah lambang kehormatan yang perlu dipertahankan.

"Jangan menggadaikan prinsip seorang anggota Paskal dengan membabitkan diri dengan perkara yang tidak bermoral dan melanggar peraturan perkhidmatan. Anda wajib berpegang teguh kepada sumpah dan ikrar Paskal.

"Beta mengingatkan anda semua supaya tidak mengabaikan tuntutan agama. Sentiasa ingat kepada Tuhan walau dalam apa jua keadaan sekalipun.

"Sentiasa berdoa sekiranya mengalami kesukaran terutamanya ketika anda bertugas. Doa akan memberikan kekuatan dan keberanian dan menghindar dari ketakutan. Insya-Allah," titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah pada Upacara Penamaan dan Pentauliahan Pusat Latihan Paskal kepada Kapal Diraja (KD) Panglima Garang di Pangkalan TLDM Lumut di sini, hari ini.

Baginda turut berkenan mengingatkan semua warga Paskal supaya mempersiapkan diri dengan segala aspek kemahiran, fizikal dan mental serta memastikan sentiasa mempunyai kemampuan diri untuk melaksanakan misi juga operasi khas yang diamanahkan oleh pihak tertinggi TLDM.

"Tugas anda sangat mencabar dan berisiko tinggi. Oleh itu, persiapan terbaik untuk hari esok adalah dengan melakukan latihan dan raptai yang terbaik pada hari ini.

"Teruskan menimba ilmu pengetahuan sesuai dengan perkembangan teknologi semasa demi berdepan dengan cabaran yang kompleks pada masa ini," titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut bertitah supaya semua anggota menjaga keselamatan diri semasa menjalani latihan.

Titah baginda, tumpuan berganda hendaklah dititik-beratkan dalam aspek keselamatan untuk mengelakkan kemalangan jiwa.

Faktor keselamatan juga hendaklah dititik-berat dan diuji berulang-kali sebelum latihan dilaksanakan.

"Beta mahu anda semua komited melaksanakan amanah dengan penuh taat setia dan bersemangat tinggi. Junjunglah cogan kata 'Sentiasa Yang Terbaik' agar ia benar-benar baik. Pertahankan semangat setia kawan yang merupakan inti kepada komuniti Paskal.

"Beta juga mendoakan, semoga Allah SWT sentiasa melindungi kita semua daripada sebarang musibah dan penyakit terutamanya Covid-19. Semoga tuhan memberkati segala usaha saudara dan saudari demi agama, bangsa dan negara. Insya-Allah," titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut menzahirkan rasa bangga dan mengucapkan tahniah kepada TLDM di atas kejayaan melangsungkan upacara yang penuh adat istiadat dan tradisi tentera laut.

Titah baginda, upacara Penamaan dan Pentauliahan Pusat Latihan Paskal itu adalah pengiktirafan besar kepada seluruh warga TLDM khususnya anggota Paskal.

"Jika diimbas kembali penubuhan Paskal pada 1982, pasukan ini berfungsi untuk mempertahankan stesen luar pantai TLDM di Laut China Selatan selain melaksanakan pelbagai operasi-operasi khas di laut, darat dan udara daripada pelbagai ancaman.

"Selepas hampir 39 tahun penubuhannya, Paskal sudah melakar pelbagai kejayaan dalam melaksanakan misi yang dipertanggungjawabkan, di dalam mahupun di luar negara.

"Beta berharap prestasi dan imej Paskal ini dapat diteruskan dan dipertingkatkan lagi," titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah, sepanjang tempoh itu juga, Paskal berjaya melatih 1,103 pegawai dan anggota tentera laut dalam dan luar negara melalui pelbagai kursus khas yang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 3:10 PM