GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


PURATA peratusan kehadiran penjawat awam ke pejabat direkodkan antara 15 hingga 35 peratus dengan meminimumkan kehadiran penjawat awam ke pejabat dengan pilihan bekerja dari rumah.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (JPA) Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata, JPA ingin menjelaskan berdasarkan kepada dapatan laporan diterima menerusi kementerian atau jabatan menunjukkan peratusan kehadiran penjawat awam pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak seperti digambarkan sesetengah pihak.

"Purata peratusan kehadiran penjawat awam ke pejabat antara 15 hingga 35 peratus berdasarkan catatan kehadiran semasa yang dilaporkan oleh kementerian atau jabatan masing-masing.

"Sebagai contoh, antara laporan kehadiran dilaporkan adalah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA) merekodkan 15 peratus, MAMPU (24 peratus), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) (29 peratus), Kementerian Pengangkutan (MOT) (27 peratus), Unit Perancang Ekonomi (EPU) (28 peratus) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) (38 peratus)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Khairul Adib berkata, bagi kementerian lain pula merekodkan kehadiran 20 peratus bagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) (28.18 peratus), Kementerian Pertahanan (MinDef) (27.48 peratus), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) (35.01 peratus), Kementerian Kerja Raya (KKR) (30 peratus) dan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) (15 peratus).

"Peratusan kehadiran ini akan berubah mengikut masa dan keperluan tanpa menjejaskan prinsip asas dan objektifnya," katanya.

Menurutnya, data pelaporan peratusan diterima jelas menunjukkan walaupun pejabat kerajaan mula beroperasi sepenuhnya bermula 4 Mei lalu namun pendekatan diambil Ketua Jabatan adalah dengan meminimumkan kehadiran penjawat awam ke pejabat dengan opsyen Bekerja Dari Rumah (BDR).

"Selaras dengan saranan menerusi surat edaran dikeluarkan JPA mengenai Operasi Pejabat Kerajaan Semasa Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bertarikh 2 Mei 2020, pendekatan BDR dan bekerja mengikut waktu fleksibel adalah digalakkan dan diamalkan pada masa kini sebagai mendokong usaha berterusan membendung penularan wabak Covid-19.

"Bagaimanapun, semua kementerian atau jabatan diarahkan supaya memastikan sistem penyampaian kerajaan berfungsi sepenuhnya dan budi bicara ketua jabatan dalam menguruskan sumber manusia di pejabat masing-masing adalah dibenarkan dalam memastikan sistem penggiliran atau mereka yang diminta untuk bekerja dari rumah dapat dikawal selia bagi menjamin penyampaian perkhidmatan yang berterusan," katanya.

Menurutnya, ketika ini ketua jabatan berperanan memastikan peraturan sedia ada dipatuhi sepenuhnya selari dengan arahan dikeluarkan dari semasa ke semasa.

"JPA berharap semua pihak yang berurusan dengan pejabat kerajaan juga dapat mematuhi normal baharu melalui garis panduan dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia dan kementerian berkaitan dalam urusan di pejabat kerajaan.

"Sebaik mungkin juga, perkhidmatan yang dapat dilakukan secara dalam talian dimanfaatkan sepenuhnya.

"Kita harus cepat mengadaptasi pendekatan dan persekitaran yang berbeza dalam normal baharu kerja pada masa sekarang bagi memastikan penularan wabak Covid-19 ini dapat dibendung dengan kadar segera," katanya.

Beliau juga mengulangi komitmen kementerian atau jabatan kerajaan akan terus memastikan sistem penyampaian kerajaan disampaikan pada tahap terbaik kepada rakyat dan negara.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 1:46 PM