GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Aizat Sharif


Kangar: Seramai 23 penjawat awam yang bertugas dengan Kerajaan Perlis didapati masih tidak berdaftar dengan aplikasi MySejahtera untuk menerima vaksin Covid-19.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Azman Mohd Yusof berkata, ia berdasarkan rekod terkini diperolehi pihaknya.

"Dalam masa sama juga, seramai 1,395 pegawai atau penjawat awam negeri ini sudah berdaftar dengan MySejahtera untuk menerima vaksin Covid-19 yang direkodkan sehingga September lalu.

"Jumlah berkenaan menyamai kadar 98 peratus penjawat awam di negeri ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 (CITF) Negeri Perlis berkata, berdasarkan rekod Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada akhir September lalu juga, seramai 16,902 orang atau 1.6 peratus penjawat awam di peringkat persekutuan di negeri ini masih belum mendaftar untuk divaksin.

"Jumlah ini bagaimanapun kecil di mana pada hampir 98 peratus pegawai awam persekutuan sudah pun mengambil vaksin seperti ketetapan yang dikeluarkan oleh kerajaan.

"Diharapkan jumlah ini juga akan terus bertambah dari semasa ke semasa," katanya.

Pada 30 September lalu, JPA mewajibkan semua penjawat awam melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 sebelum 1 November ini.

JPA memaklumkan, keputusan itu dibuat bagi memberikan keyakinan dan jaminan kepada orang awam serta memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.

Selain itu juga, ia juga selari dengan usaha mengembalikan perkhidmatan kerajaan pada tahap pengoperasian penuh berdasarkan fasa Pelan Pemulihan Negara.

Sekiranya pegawai awam belum mengambil vaksin selepas tempoh yang ditetapkan tanpa mendapatkan pengecualian daripada pegawai perubatan kerajaan, pegawai berkenaan boleh dikenakan tindakan tatatertib selaras dengan peraturan semasa yang berkuat kuasa.

Semua pegawai awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [PU(A) 395/1993].

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 10:06 AM