Hafidzul Hilmi Mohd Noor


POLIS menafikan kehadiran orang ramai di Kompleks Kenanga Wholesale City di Jalan Pudu adalah untuk membeli belah sebaliknya mereka pekerja di kompleks berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kesesakan berlaku di pintu masuk kompleks berkenaan disebabkan pihak pengurusan membuka laluan masuk pekerja yang terhad.

"Kita dapati pada masa sama kehadiran pekerja yang serentak juga antara faktor kesesakan berlaku.

"Justeru saya sudah mengarahkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi memberitahu pihak pengurusan kompleks berkenaan mempercepatkan serta membuka lebih banyak laluan untuk pekerja," katanya ketika ditemui selepas meninjau penjarakan sosial di KL Sentral dan Sogo, hari ini.

Beliau meluangkan masa kira-kira satu jam untuk meninjau persiapan perniagaan terutama di kompleks membeli-belah.

MAZLAN LAZIM
MAZLAN LAZIM

Mazlan berkata, dia berpuas hati dengan kepatuhan orang ramai pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Kita berharap orang ramai mematuhi peraturan ditetapkan di kawasan awam.

"Setakat hari ini saya berpuas hari, sebagai contoh di KL Sentral mereka mempunyai garisan, termometer dan pencuci nyah kuman untuk penumpuan yang berada di kawasan berkenaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 6:45 PM