Nelayan pantai menyaksikan perutusan khas Perdana Menteri sempena Hari Pekerja ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kuantan hari ini. Foto Farizul Hafiz Awang
Nelayan pantai menyaksikan perutusan khas Perdana Menteri sempena Hari Pekerja ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kuantan hari ini. Foto Farizul Hafiz Awang
Omar Ahmad

MASYARAKAT perlu yakin dengan tindakan dan saranan yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini dalam mengendalikan pandemik Covid-19 serta memulihkan kembali ekonomi negara secara berperingkat.

Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan Michael Tay Chee Boon berkata, langkah terbaru itu membenarkan operasi semula perniagaan dan premis makanan dengan syarat ketat sangat membantu memulihkan seterusnya melancarkan ekonomi pada peringkat awal.

Menurutnya, pada masa sama, orang ramai dikehendaki tidak alpa dalam meneruskan usaha memutuskan rantaian Covid-19.

"Saya mewakili suara masyarakat Tionghua sangat yakin dengan tindakan Perdana Menteri kita, saya harap kita semua juga yakin dan perlu mengikuti syarat yang ditetapkan kerajaan.

"Apabila masyarakat yakin, mereka akan keluar berbelanja dan menghidupkan kembali ekonomi," katanya.

Menurut Michael, perkara utama ialah keyakinan kepada kerajaan bagi memulihkan ekonomi.

Pada masa sama, rakyat juga perlu yakin dengan pelbagai usaha dijalankan kerajaan bagi membanteras penularan Covid-19.

"Kita akan selamat jika kita dengar arahan kerajaan. Saya berasakan model pengendalian dan pengurusan wabak ini akan diikuti oleh negara serantau," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2020 @ 2:54 PM