MICHAEL Tay Chee Boon. FOTO NSTP
MICHAEL Tay Chee Boon. FOTO NSTP
Omar Ahmad


AHLI Politik perlu memberi ruang kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memulihkan semula ekonomi rakyat dan negara ekoran pandemik Covid-19.

Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan, Michael Tay Chee Boon berkata, Muhyiddin serta barisan kepimpinan dengan bantuan sektor awam dan swasta berjaya mengawal pandemik di negara ini, berbanding keadaan wabak yang semakin memuncak di negara jiran.

Katanya, perkara yang perlu diberi perhatian ialah pemulihan ekonomi dan juga peluang pekerjaan kerana ramai rakyat yang diberhentikan kerja akibat penularan wabak ini.

"Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) adalah pelan yang lengkap bagi semua golongan untuk merangsang dan pemulihan ekonomi.

"Saya cadangkan peruntukan ini diberi menerusi perbankan supaya pemohon dapat memohon terus dan penilaian dibuat oleh pihak berkaitan.

"Sekiranya pelan ini berjalan lancar dan kerajaan sudah menarik semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), saya yakin ekonomi negara dan rakyat boleh pulih, tetapi semua individu perlu mengamalkan normal baharu," katanya ketika dihubungi.

Michael Tay berkata, semua masyarakat termasuk ahli politik perlu menyokong kepimpinan Muhyiddin pada masa ini.

Katanya, ia bagi merangsang ekonomi supaya pemulihan dapat berjalan lancar tanpa sebarang gangguan politik.

"Saya percaya bukan mudah hendak mengendalikan wabak ini, satu dunia berhadapan situasi sama. Perdana Menteri mendapat sokongan dan dokongan rakyat dari sudut pematuhan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan PKPB.

"Berilah peluang kepada kepimpinan negara sekarang untuk memulihkan semula ekonomi, lupakan sementara hal politik, kerana kesejahteraan rakyat adalah keutamaan," katanya.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan Penjana dengan tema 'Bersama Menjana Ekonomi', serta tiga teras utama iaitu memperkasakan rakyat, melonjakkan perniagaan dan merangsang ekonomi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2020 @ 4:53 PM